Tuesday 31 October 2017

Petola Ular tumis belacan

Sayur ini dulu aku tak kenal. Orang Bangla yang perkenal sayur ni kat aku. Selalu aku tengok dia orang beli kat pasar borong. Kata mereka sedap. Aku pun cubalah masak. Kena pulak dengan selera aku. Sedap sayur ni cuma ianya tak popular di kalangan masyarakat kita. Kalau orang Bangla memang suka sangat makan sayur ini. 

Petola Ular
Kalau hampa nak pilih Petola Ular, pilihlah yang banyak warna hijaunya. Petola Ular yang banyak warna putih tandanya dah agak tua. Yang dah agak tua keras sedikit tapi masih boleh dimakan. Petola Ular yang muda lebih lembut. Bagi yang agak tua sedikit, bahagian dalamnya akan jadi lopong dan bijinya menjadi sedikit keras. 

Petola Ular yang telah dibuang kulitnya.
Gambar atas tu ialah Petola Ular yang telah siap di buang kulit dan telah di potong. Anak panah biru menunjukkan Petola Ular warna kulitnya hijau, masih muda belia. Anak panah merah tu pulak menunjukkan Petola Ular yang kulitnya banyak warna putih, agak tua sedikit. Yang muda, bahagian dalamnya ada isi manakala yang tua bahagian dalamnya kosong. Bahagian yang kosong tu ada biji. Kalau betul-betul tua, biji tu akan jadi keras dan boleh dibuat benih. Cara masak Petola Ular senang je. Hampa tumbuk kasar belacan sikit, bawang merah, bawang putih, cili merah setangkai dua dan cili api 5-6 tangkai macam gambar kat bawah ni;

Bawang merah, bawang putih, cili merah dan cili api tumbuk kasar.
Kalau hampa nak buh ikan bilis pun boleh. Aku suka buh udang. Buh la dalam 10-15 ekor macam tu. Buang kepala dan kulit, tinggalkan bahagian ekor. Tapi udang ni sebenarnya hampa nak buat mcm mana pun tak pa. Ikut la lagu mana pun janji boleh makan.....kan.

Cara aku, buang kepala dan kulit tapi tinggalkan ekornya.
Apa macam......nampak menyelerakan bukan?


Untuk resepi lengkap hampa boleh rujuk kat bawah ini;

Petola Ular tumis belacan

Bahan
2 biji Petola Ular saiz sedang
Udang segar kuantiti ikut suka
3 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
Sedikit belacan (sebesar kuku ibu jari dah cukup)*
2 tangkai cili merah*
5 tangkai cili api (nak pedas tambah lagi)*
1 biji teluar ayam
2 sudu makan sos tiram
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara
# Petola Ular buang kulit dan bersihkan.
# Bahan yang bertanda * tumbuk kasar.
# Udang buang kulit dan bersihkan.
# Panaskan minyak dalam kuali.
# Tumis bahan tumbuk sampai naik bau. Masukkan udang. Gaul rata.
# Tolak ketepi bahan tumis dan udang. Pecahkan telur dan goreng kat bahagian yang kosong setelah kita ketepikan bahan tumis dan udang tadi. Bagi telur mengeras sikit kemudian terus gaul semua bahan supaya telur hancur.
# Masukkan petola ular. Gaul rata dan tutup sekejap.
# Masukkan sos tiram. Air tak payah buh sebab sayur itu sendiri berair tapi kalau nak buh jugak pun boleh cuma buh sikit sahaja.
# Tunggu hingga petola ular agak empuk kemudian perasakan dengan garam dan gula. Biasanya sekejap je petola ular empuk.
# Bila dah cukup rasa dan empuknya matikanlah api dan masakan siap untuk dihidang.  

Okay tuan-tuan dan puan-puan selamat mencuba masakan sayur favorite Bangla.......hehe!!!

No comments:

Post a Comment