Thursday 14 September 2017

Peria tumis telur....apuu nyamai amai!!!

Teringin makan Peria pulak hari ini. Pukul 11.30 pagi kebetulan lalu kat Pasar Selayang. Singgah sat beli peria sebiji. Sebiji cukuplah kut. Anak-anak aku bukan makan peria. Yang pahit itu ubat, budak-budak muda mana nak makan. Yang manis itu punca penyakit depa sukalah. Hampa jangan pelik pulak tajuk entri aku hari ni. Apuu nyamai amai tu bahasa Iban. Kalau bahasa Melayu lebih kurang ertinya.....aduhh sedap sangat....hehe. Lima tahun duk Sarawak boleh la sikit-sikit faham bahasa Iban. Tapi kalau ada test bahasa Iban memang aku fail......hihi.

Peria memang pahit. Tapi pahit itulah yang ada banyak khasiat. Kalau ada tekanan darah tinggi elok makan peria selalu. Aku ni makan peria kalau pahit sangat makan sikit jelah. Biasa kalau masak peria, cara aku kurangkan rasa pahit ialah dengan cara merendam peria yang telah dipotong ke dalam air garam. Tak payah rendam lama. Lima belas minit dah cukup. Paling lama pun setengah jam. Lepas tu toskan sementara siapkan bahan-bahan lain. Bahan-bahan dan resepi yang biasa aku guna masak peria tumis telur adalah seperti berikut;

Toskan selepas rendam dengan air garam selama 15 minit.

Peria Tumis Telur
Bahan-bahan
2 tangkai cili merah
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit belacan - tak buh pun ok
Udang segar - kuantiti ikut suka nak banyak mana
Sebiji telur ayam
Garam & gula secukup rasa
Sedikit serbuk cukup rasa Maggi
Minyak untuk menumis

Cara
1. Kisar kasar cili merah, bawang merah, bawang putih dan  belacan
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar. Tak payah lama. Naik bau dah okay kemudian tolak ke tepi bahan tumis tu dan masukkan udang.
3. Udang nampak merah sikit, gaulkan sekali dengan bahan tumis dan tolak ke tepi.
4. Pecahkan telur dan goreng di ruang yang dikosongkan tadi. Biarkan sekejap bagi telur mengeras kemudian kacau supaya hancur.
5. Masukkan peria. Gaul rata. Kalau nampak kering tambahkan air sikit je kemudian tutup kuali.
6. Bila peria dah separuh empuk, perasakan dengan garam, gula & cukup rasa Maggi.
7. Matikan api bila tahap empuk peria anda rasakan sesuai. Tahap empuk peria terpulanglah kepada citarasa anda. Saya suka yang lembut tapi ramai juga suka yang separuh empuk.

*kalau hampa suka pedas, bolehlah tambah cili api dan kisar sekali dengan bahan-bahan kisar tadi.

Haa..inilah dia Peria tumis telur yang nyamai amai.......


No comments:

Post a Comment