Friday 10 November 2017

Stiker Islamik di cermin belakang kereta.

Contoh stiker yang berbentuk Islamik
Dah lama aku nak tulis pasal benda ni. Tentang pendapat aku berkaitan dengan stiker yang berbentuk Islamik di cermin belakang kereta. Ada pro dan kontranya jika tampal stiker yang sedemikian itu. Yang bagusnya ialah pemandu di belakang kita tahu kita orang Islam. Lagi, jika pemandu di belakang kita itu orang Islam, dengan membaca stiker yang ada pada cermin belakang kereta kita, dapat pula kita pahala kebaikan dari bacaan pemandu tersebut jika stiker kita berbentuk zikir contohnya. Ini juga salah satu cara berdakwah. 

Namun demikian ada juga kontranya. Orang yang menampal stiker berbentuk Islamik di cermin belakang kereta mereka kenalah jaga adab di jalan raya. Sebabnya mereka membawa imej Islam. Islam agama yang sempurna, cantik dan molek serba serbi. Mereka pun sepatutnya ada adap sopan yang sangat baik di jalan raya. Jangan potong barisan. Jangan langgar lampu merah. Jangan bawa perlahan di lorong kanan. Pastikan beri signal bila nak tukar lorong dan sebagainya. Pendek kata kena perfect semuanya. Kalau anda tak jaga adab di jalan raya yang dah tentu terima akibatnya ialah Islam. Perbuatan buruk anda di jalan raya akan dikaitkan dengan Islam sebabnya ialah kerana mereka melihat kepada stiker Islamik yang anda tampal di cermin belakang kereta anda.

Apa lagi jika stiker anda bertulis "Islam is the way of life" sebagai contohnya mana sesuai dengan perbuatan anda memotong barisan. Anda kata Islam is the way of life. Tak kanlah anda nak cakap perbuatan memtong barisan itu adalah way of life yang Islam ajar. Sebab itu pada pandangan saya, sesiap yang tampal stiker berbentuk Islamik kat cermin belakang kereta mereka maka jagalah adap kamu di jalanraya. Saya selalu nampak kereta yang ada stiker begini buat perkara yang tak cantik contohnya buang sampah melalui tingkap semasa kenderaan sedang bergerak, memotong barisan, memandu perlahan di lorong kanan. Kalau nak buat juga perkara tak cantik begitu eloklah jangan tampal stiker yang sedemikian rupa kat cermin belakang kereta. Elakkan diri kita dari memalukan Islam. Kepada mereka yang ada stiker yang sedemikian tetapi selalu menjaga adab di jalanraya kerana niat لله تعالى kita ucapkan syabas atas usaha dakwah anda. 

Wallahu’alam bisshawab.

Sunday 5 November 2017

Kacang goreng rangup dan pedas perisa kari

Kacang goreng memang jadi kegemaran aku. Lebih-lebih lagi kalau aku buat sendiri. Sebabnya ialah kalau aku buat sendri, aku boleh adjust rasanya jadi macam rasa yang aku kehendaki. Nak manis boleh. Masin boleh. Pedas pun okay. Itulah kelebihan goreng kacang tanah sendiri. Biasanya kalau aku goreng kacang tanah 500 gram, paling lama boleh bertahan 3 hari sahaja. Lepas 3 hari balangnya kosonglah. Modal tak banyak mana pun. 500 gram kacang tanah baru lebih kurang RM4.00 ke RM4.50. Dengan bawang putih, ikan bilis dan lain-lain bahan jumlah keseluruhan modal tak lebih dari RM15.00. 

Pilih kacang tanah yang tak ada kulit. Rendam dalam air panas menggelegak dalam 5 minit lepas tu toskan.

Setelah ditoskan, perap dengan bahan kisar. Lagi lama lagi bagus biar bahan kisar meresap ke dalam kacang.

Dah siap. Campur dengan ikan bilis goreng dan bawang putih goreng.
Sebelum ini selalu jugak aku goreng kacang tapi untuk kali ini aku nak tambah beberapa bahan. Niat di hati nak bagi sedap lagilah....hehe. Kali ini aku tambah serbuk kari dan serbuk cili. Hasilnya memang sedap. Ada rasa pedas-pedas gitu. Kalau nak tahu macam mana rasanya hampa kenalah buat sendiri......hehe. Boleh makan sambil malas-malas tengok TV. Okay.......cerita panjang pun tak guna. Aku nak pi bawa teksi sat lagi. Sebelum aku mengayuh, aku nak turunkan resepi kacang goreng rangup dan pedas perisa kari daging kat sini.......manalah tau kot-kot hampa nak try :)

Bahan
500 gram kacang tanah yang telah dibuang kulit
50-100 gram ikan bilis (kalau saya akan cari yang gred elok sikit, goreng jadi garing, tak liat).
30 ulas bawang putih (15 ulas hiris dan 15 ulas kisar)
2 sudu makan kari daging
1 sudu makan serbuk cili
2 1/2 sudu makan gula
1 sudu makan garam

Cara
# Panaskan air hingga menggelegak. Matikan api dan rendamkan kacang tanah selama lebih kurang     5 minit.
# Ikan bilis buang perut, bersihkan dengan air kemudian toskan
# 15 ulas bawah putih hiris halus.
# Dalam blender masukkan 15 ulas bawang putih, serbuk kari daging, serbuk cili, gula dan garam. Buh air sikit kemudian blend hingga halus. 
# Perap bahan kisar bersama dengan kacang tanah selama 30 minit atau lebih. Aku biasa perap sejam supaya bahan perap dapat meresap sebati ke dalam kacang tanah untuk dapat rasa yang lebih power.
# Selesai perap gorenglah kacang dengan menggunakan api perlahan. Masa goreng ni kena selalu gaul supaya kacang masak sekata. Masa memasak lebih kurang 12 ke 15 minit shj. Dah siap goreng, toskan kacang tanah tersebut.
# Goreng pulak ikan bilis sampai garing. Kemudian goreng bawang putih yang dihiris tadi.
# Akhir sekali, satukan kacang tanah yang telah siap digoreng bersama dengan bilis goreng dan bawang putih goreng. Gaul semuanya bagi sebati. Simpan dalam balang kedap udara untuk tahan lama dan tak masuk angin.

Macam-macam jenis bawang.

Semalam ada seorang pembaca bertanya bawang merah jenis yang mana satu yang aku guna untuk masak mee goreng mamak (resepi kat sini http://pipsterian.blogspot.co.uk/2015/01/resepi-mee-goreng-mamak-yang-paling-best.html). Untuk lebih jelas, hari ini aku naikkan entri ni. Kita tengok gambar bawang kat bawah ini dulu;

Sebenarnya selain dari lima jenis yang utama ini, ada banyak lagi jenis bawang.
Biasanya bawang yang aku selalu guna untuk masak-memasak ialah yang nombor 2 tu (red onion). Red Onion yang ada di Malaysia biasanya diimport dari India, Pakistan dan China. Red Onion dari India dan Pakistan yang selalu menjadi pilihan pengguna manakala yang asal China kurang digunakan kecuali bila harga bawang naik melambung macam sekarang ini barulah pengguna beralih kepada Red Onion dari China. Red Onion ni pulak ada yang kecil dan yang besar. Pada aku sama ada yang besar atau yang kecil sama sahaja rasanya. Cuma kalau nak guna kuantiti yang banyak aku pilih yang besar sebab senang nak buang kulitnya. Kalau kuantiti nak guna banyak dan gunakan pulak bawang kecil alamatnya bermandikan air matalah kita masa mengupas kulitnya.....haha. Untuk masak mee goreng mamak aku guna sebiji yang kecil dah cukup. Nak guna yang besar pun boleh cuma jangan habiskan sebiji bawang untuk satu hidangan mee goreng. Ambil suku dah cukup.

Bawang nombor 1 dan nombor 3 tu aku jarang guna. Rasanya bukan jarang guna, tak pernah guna lebih tepat.......haha. Jarang jumpa kat kedai. Lain kali kalau aku pi kedai pemborong bawang aku nak tengok jenis bawang ni, macam mana rupanya yang real. 

Bawang nombor 4 biasa jumpa. Ini aku panggil Bawang Holland. Barangkali sebab diimport dari Holland kot atau juga bawang ini berasal dari Holland (macam asal pokok getah dari Brazil). Bawang jenis ini sesuai guna untuk masakan Thai. Sup tulang macam yang ini http://pipsterian.blogspot.co.uk/2015/03/sup-ekor-dan-sup-tulang-kedai-tomyam.html memang aku gunakan banyak Bawang Holland. Masakan kat kedai tomyam memang banyak guna bawang jenis ini.

Bawang nombor 5 ialah Shallot. Bawang ini kalau hampa guna untuk buat tumisan memang sedap terutamanya bila menumis untuk masak nasi beriani. Yang ni aku belajar dari sorang pakcik namanya aku panggil Pak Din tukang masak catering. Kebanyakan ilmu memasak aku nasab dari dialah....hehe terima kasih la Pak Din ye. Minta halal ilmu dunia akhirat. Kalau aku masak mee goreng mamak, tak ada bawang merah, bawang Shallot ni pun aku bantai juga. Lebih kurang je rasanya. Lagipun kuantiti sikit, tak memberikan kesan yang banyak terhadap keseluruhan rasa mee tersebut.

Tuesday 31 October 2017

Petola Ular tumis belacan

Sayur ini dulu aku tak kenal. Orang Bangla yang perkenal sayur ni kat aku. Selalu aku tengok dia orang beli kat pasar borong. Kata mereka sedap. Aku pun cubalah masak. Kena pulak dengan selera aku. Sedap sayur ni cuma ianya tak popular di kalangan masyarakat kita. Kalau orang Bangla memang suka sangat makan sayur ini. 

Petola Ular
Kalau hampa nak pilih Petola Ular, pilihlah yang banyak warna hijaunya. Petola Ular yang banyak warna putih tandanya dah agak tua. Yang dah agak tua keras sedikit tapi masih boleh dimakan. Petola Ular yang muda lebih lembut. Bagi yang agak tua sedikit, bahagian dalamnya akan jadi lopong dan bijinya menjadi sedikit keras. 

Petola Ular yang telah dibuang kulitnya.
Gambar atas tu ialah Petola Ular yang telah siap di buang kulit dan telah di potong. Anak panah biru menunjukkan Petola Ular warna kulitnya hijau, masih muda belia. Anak panah merah tu pulak menunjukkan Petola Ular yang kulitnya banyak warna putih, agak tua sedikit. Yang muda, bahagian dalamnya ada isi manakala yang tua bahagian dalamnya kosong. Bahagian yang kosong tu ada biji. Kalau betul-betul tua, biji tu akan jadi keras dan boleh dibuat benih. Cara masak Petola Ular senang je. Hampa tumbuk kasar belacan sikit, bawang merah, bawang putih, cili merah setangkai dua dan cili api 5-6 tangkai macam gambar kat bawah ni;

Bawang merah, bawang putih, cili merah dan cili api tumbuk kasar.
Kalau hampa nak buh ikan bilis pun boleh. Aku suka buh udang. Buh la dalam 10-15 ekor macam tu. Buang kepala dan kulit, tinggalkan bahagian ekor. Tapi udang ni sebenarnya hampa nak buat mcm mana pun tak pa. Ikut la lagu mana pun janji boleh makan.....kan.

Cara aku, buang kepala dan kulit tapi tinggalkan ekornya.
Apa macam......nampak menyelerakan bukan?


Untuk resepi lengkap hampa boleh rujuk kat bawah ini;

Petola Ular tumis belacan

Bahan
2 biji Petola Ular saiz sedang
Udang segar kuantiti ikut suka
3 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
Sedikit belacan (sebesar kuku ibu jari dah cukup)*
2 tangkai cili merah*
5 tangkai cili api (nak pedas tambah lagi)*
1 biji teluar ayam
2 sudu makan sos tiram
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara
# Petola Ular buang kulit dan bersihkan.
# Bahan yang bertanda * tumbuk kasar.
# Udang buang kulit dan bersihkan.
# Panaskan minyak dalam kuali.
# Tumis bahan tumbuk sampai naik bau. Masukkan udang. Gaul rata.
# Tolak ketepi bahan tumis dan udang. Pecahkan telur dan goreng kat bahagian yang kosong setelah kita ketepikan bahan tumis dan udang tadi. Bagi telur mengeras sikit kemudian terus gaul semua bahan supaya telur hancur.
# Masukkan petola ular. Gaul rata dan tutup sekejap.
# Masukkan sos tiram. Air tak payah buh sebab sayur itu sendiri berair tapi kalau nak buh jugak pun boleh cuma buh sikit sahaja.
# Tunggu hingga petola ular agak empuk kemudian perasakan dengan garam dan gula. Biasanya sekejap je petola ular empuk.
# Bila dah cukup rasa dan empuknya matikanlah api dan masakan siap untuk dihidang.  

Okay tuan-tuan dan puan-puan selamat mencuba masakan sayur favorite Bangla.......hehe!!!

Friday 6 October 2017

Keli berlada ku yang mantap....

Ini memang lauk kegemaran ku. Ada orang panggil ikan keli berlada. Kalau belah utara nun depa panggil keli masak cabai. Dulu masa zaman kanak-kanak, masak cabai memang aku biasa sangat dah. Ikan keli, ikan sepat dan ikan puyu selalunya dimasak cabai. Ikan haruan je yang tak selalu aku jumpa orang buat masak cabai. Dulu ikan haruan kurang bernilai. Ikan keli yang paling mahal. Diikuti oleh ikan sepat. Ikan puyu kalau menjala atau memukat tersangkut di jaring memang hangat hati pasal susah nak lepaskan dari jaring disebabkan oleh siripnya yang berduri melekat pada jaring. Itu cerita dulu. Zaman sekarang, dek perubahan masa dah menjadikan ikan haruan dan ikan puyu pulak yang lebih mahal daripada ikan keli. Itulah kan.....kita pun tak boleh jangka benda ni berlaku. 

Sebenarnya dah beberapa hari aku teringin nak makan lauk keli sambal ni. Selalunya kalau teringin nak makan apa pun biasanya aku akan masak sendiri. Yang mana aku boleh masaklah. Yang bestnya masak sendiri ialah rasa masakan boleh kita adjust ikut selera kita sendiri. Boleh adjust rasa masam, manis, masin.

Okaylah, cerita panjang penat pulak menaip. Mai tengok resepi keli sambal cincai cara aku kat bawah ni. Tapi mula-mula layan gambar dulu naaa....

Enak banget dimakan dengan nasi panas

Bahan-bahan
1kg ikan keli
5 tangkai cili merah*
2 tangkai cili hijau*
4 biji bawang kecil*
2 ulas bawang butih*
sedikit belacan*
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis dan menggoreng

Cara
Ikan keli siang dan bersihkan. Gaul dengan garam dan kunyit kemudian gorenglah dengan berhati-hati kut-kut meletup boleh la mengelak kena minyak panas....hehe. Dah siap goreng, letaklah dalam pinggan besar sikit supaya nanti senang nak siram sambal di atasnya.

Kisar kasar bahan yang bertanda *. Kalau hampa rajin tumbuklah guna lesung batu, lagi power kot.

Kemudian tumis bahan kisar dengan menggunakan sedikit minyak gorengan ikan keli tadi. Masa tumis ni hampa campaklah sekali asam gelugor.

Perasakan dengan garam dan gula bila bahan tumis dah masak.

Kalau ikan keli sikit bolehlah gaul sekali dengan sambal dalam kuali. Kalau tak muat, elok la tuangkan saja sambal atas ikan. Dah siap tu eloklah hampa pekena dengan nasi panas. Kena pulak ada sayur lemak labu kuning dan pucuk manis, hurmmm mak aii lagi la best. Favorite aku tu....

Thursday 14 September 2017

Tayar kereta hampa dah botak kalau hampa dapati ukurannya begini......

Ramai yang tahu dan ramai juga yang tak tahu. Ni aku nak kongsi sedikit sebab aku pun baru tahu........haha. Itulah kan, kalau banyak membaca maka banyaklah ilmu. Malas membaca, kureng la sikit ilmu. Sebenarnya pada tayar kereta ada tanda yang menunjukkan tahap kehausan bunga tayar tersebut. Dalam kata lain, apabila kehausan bunga tayar sampai ke tahap tertentu maka tayar tersebut secara teknikalnya kurang selamat untuk digunakan lagi. Cerita pasa tayar ni, teringat aku kepada sorang kawan. Aku melalut dululah sat ye. Kawan aku ni, hanya tukar tayar kereta dia bila tayar dah nampak benang.....haaa jangan hampa tak percaya. Bunga tayar jangan ceritalah. Tak ada langsung. Licin selicin-licinnya. Macam tayar F1. Tak tau lah aku pasal apa jadi lagu tu. Aku rasa la.....hmmm mungkin pasal kedekut kut. Manusia ni kalau kedekut, nyawa pun dia boleh kompromi. Hampa jangan la buat macam tu naa. Pasalnya kalau accident dan melibatkan orang lain pulak kan ke naya orang tu. Kita kedekut punya pasal, orang lain menanggung akibatnya. Tak adil kepada pengguna jalan raya yang lain.

Okay, mai kita tengok gambar tayar kat bawah ni. Hampa perati betul-betul dalam longkang tayar tu ada macam bar/jambatan yang menghubungkan antara bunga tengah dan tepi. Kalau hampa nak tukar tayar tapi budget tak cukup untuk tayar baru dan alternatifnya cari tayar second hand maka hampa kena perati betul-betul bar ini.

Ada bar yang aku namakan jambatan pada tengah tayar
Untuk lebih jelas hampa tengok gambar bawah ni yang aku tanda dengan bulatan hijau. Bar pulak aku tanda dengan anak panah merah. 


Tujuan bar tu dibuat ialah untuk menunjukkan tahap kehausan tayar. Jika bunga tayar sama rata dengan bar maksudnya tayar tu secara teknikalnya dah tak boleh pakai, dah sampai tahap kehausan maksimum. Bahaya kalau hampa pakai juga sebab tahap cengkaman dia dah kurang. Kalau nak cari tayar second hand, bar penanda ini sangat berguna dalam kita menentukan tayar mana yang kita nak beli. Lagi tinggi/jauh bunga tayar dengan bar, lebih bagus cengkaman tayar.

Peria tumis telur....apuu nyamai amai!!!

Teringin makan Peria pulak hari ini. Pukul 11.30 pagi kebetulan lalu kat Pasar Selayang. Singgah sat beli peria sebiji. Sebiji cukuplah kut. Anak-anak aku bukan makan peria. Yang pahit itu ubat, budak-budak muda mana nak makan. Yang manis itu punca penyakit depa sukalah. Hampa jangan pelik pulak tajuk entri aku hari ni. Apuu nyamai amai tu bahasa Iban. Kalau bahasa Melayu lebih kurang ertinya.....aduhh sedap sangat....hehe. Lima tahun duk Sarawak boleh la sikit-sikit faham bahasa Iban. Tapi kalau ada test bahasa Iban memang aku fail......hihi.

Peria memang pahit. Tapi pahit itulah yang ada banyak khasiat. Kalau ada tekanan darah tinggi elok makan peria selalu. Aku ni makan peria kalau pahit sangat makan sikit jelah. Biasa kalau masak peria, cara aku kurangkan rasa pahit ialah dengan cara merendam peria yang telah dipotong ke dalam air garam. Tak payah rendam lama. Lima belas minit dah cukup. Paling lama pun setengah jam. Lepas tu toskan sementara siapkan bahan-bahan lain. Bahan-bahan dan resepi yang biasa aku guna masak peria tumis telur adalah seperti berikut;

Toskan selepas rendam dengan air garam selama 15 minit.

Peria Tumis Telur
Bahan-bahan
2 tangkai cili merah
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit belacan - tak buh pun ok
Udang segar - kuantiti ikut suka nak banyak mana
Sebiji telur ayam
Garam & gula secukup rasa
Sedikit serbuk cukup rasa Maggi
Minyak untuk menumis

Cara
1. Kisar kasar cili merah, bawang merah, bawang putih dan  belacan
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar. Tak payah lama. Naik bau dah okay kemudian tolak ke tepi bahan tumis tu dan masukkan udang.
3. Udang nampak merah sikit, gaulkan sekali dengan bahan tumis dan tolak ke tepi.
4. Pecahkan telur dan goreng di ruang yang dikosongkan tadi. Biarkan sekejap bagi telur mengeras kemudian kacau supaya hancur.
5. Masukkan peria. Gaul rata. Kalau nampak kering tambahkan air sikit je kemudian tutup kuali.
6. Bila peria dah separuh empuk, perasakan dengan garam, gula & cukup rasa Maggi.
7. Matikan api bila tahap empuk peria anda rasakan sesuai. Tahap empuk peria terpulanglah kepada citarasa anda. Saya suka yang lembut tapi ramai juga suka yang separuh empuk.

*kalau hampa suka pedas, bolehlah tambah cili api dan kisar sekali dengan bahan-bahan kisar tadi.

Haa..inilah dia Peria tumis telur yang nyamai amai.......


Wednesday 16 August 2017

Cermin sisi kereta autoflip rosak. Repair atau tukar baru?

Jadi kat kereta aku semalam. Cermin sisi auto flip sebelah kanan tak bergerak bila aku tekan suis auto flip sedangkan bunyi motornya kedengaran. Motor tu pulak bunyi terus terusan tak berhenti. Aku tahu, kereta aku ni nak makan duit la tu.....ish..ish..ish sedeh sedeh. Dah rosak, apa lagi pi la cari kedai pomen. Biasanya benda macam ni pomen tak buat. Kena cari kedai accessories kereta. Aku pi la satu kedai yang biasa aku kunjungi. Tanya tauke, kata dia benda ni tak boleh buat atau repair. Kena tukar seketul. Aku tanya harga berapa. Katanya kalau cermin sisi jenis kereta aku ni dalam RM500 kot. Mak aiiii mahalnya. Temenung eden sekejap. Kalau tukar baru nak kena cat lagi sebab yang baru color hitam. Nak cat kena tambah kos lagi. Aku cakap kat tauke tu tunggu dulu sebab aku nak tengok kat kedai potong kut-kut dapat harga murah sikit. 

Lepas tu aku pi tanya dua tiga kedai accessories kereta yang lain. Jawapannya sama jugak. Maksudnya memang betullah kena tukar seketul. Tak ada pilihan. Balik rumah aku google manalah tau jika ada alternatif lain yang lebih murah. Google punya google dapatlah info macam gambar kat bawah ni;

Cari kat mudah.my
Repair sahaja, bukan tukar baru. Repair pun kena RM180. Letih la lagu ni. Kalau kena dua-dua side mau melayang RM360.

Sama ada gear patah atau motor rosak.

Kes kereta aku ni rasanya gear patah sebab bunyi motor running non stop. Walaupun agak mahal nak repair tapi kira nasib baik lagi sebab motor masih okay, cuma gear yang rosak.

Harga untuk gear sahaja. Kalau motor yang rosak, kos repairnya RM280.
Harga RM180 tu belum tentu lagi harga final. Biasalah kalau pi repair kereta, macam-macam benda depa kata rosak dan nak kena repair. Bunga-bunga nak kena tambah duit tu dah ada pasal dia kata harga start daripada RM180 onward. Tu kira dia bagi hint la....hehe.

Fikir punya fikir teringat pulak aku pernah repair power window kat satu kedai accessories kereta di Kepong pada tahun lepas. Check handfon tengok nombor telefon kedai tu ada lagi aku simpan. Try call. Lepas aku cerita auto flip kereta aku rosak dia pun cakap bawa mai kedai dia. Boleh repair. Harga siap pasang dan upah RM150. Aku pun apa tunggu lagi terus pi Kepong. Lega, pasal dekat dgn rumah dan harga pun kurang sikit daripada yang kat mudah.my. 

Cover pintu kena buka
Side mirror dah ditanggalkan
Inilah dia gear yang rosak tu.
Benda yang rosak tu hanyalah gear plastik. Lebih kurang diameter macam jadi kelingking. Benda macam ni pun kena sampai RM150........naya sungguh. Tapi nak buat lagu mana. Kena la tukar jugak. Ni pun kira murah lagi berbanding dengan yang lain. Repair benda alah ni sat je. Tak sampai setengah jam dah selesai. Kalau hampa pandai buat sendiri elok la buat sendiri. Alat yang digunakan pun cuma screwdriver. Gear tu boleh beli kat kedai spare part. Kalau tak pun, buka dulu lepas tu bawa gear yang pecah tu sebagai contoh dan pi cari kat kedai hardware. Kalau buat sendiri, aku rasa modal silap-silap tak sampai RM10.

Dah siap dan dah parking kat rumah.
Manalah tahu kut benda ni jadi kat hampa, boleh la hampa repair sendiri. Autoflip side mirror ni jenama kereta apa pun lebih kurang sama je. Tapi kalau hampa nak cari kedai accessories kereta yang boleh repair benda ni hampa kenalah pusing-pusing mencari sebab banyak kedai yang tak boleh repair. Kalau cari kat internet boleh jugak cuma mungkin jauh sikit nak pi. Aku tengok kat mudah.my, ada yang charge hanya RM115 untuk repair autoflip yang rosak tu cuma tempatnya kat Bandar Tasik Selatan. Malas pulak aku nak pi sebab harga RM115 tu belum tentu final. Silap-silap pi sana kena ketuk.....haha. Mengkalau hampa nak pi buat kat kedai accessories kereta yang aku buat tu, ni aku bagi tau lokasi dia.

Kedai ni kat Kepong
Inilah rupa kedai accessories kereta tu.
Mengkalau tak jumpa, hampa call hp tauke dia
Cermin sisi autoflip kereta jenis apa pun dia boleh repair. Myvi, Kia, Merc, BMW, Hyundai, Toyota, Honda, Proton, Volvo....semua dia boleh buat. Yang penting hampa sediakan RM je......haha.

Wednesday 24 May 2017

Top Up Touch 'n Go

Aku baru perasan kalau top up Touch 'n Go ada tempat tertentu yang kenakan service charge dan ada tempat yang tak kenakan service charge. Naive nya aku kan......hehe. Orang lain dah lama tahu tapi aku baru je tahu. Ketingallan jugak aku ni kan. Enjin lama begitulah. Wear and tear akan menyebabkan ini semua berlaku.....haha. Hampa yang muda, nanti bila umur meningkat jadi macam tu jugaklah. Tapi kan, aku rasa ramai jugak kat luar sana yang tak tahu pasal benda yang aku nak cerita ni. Elok la aku cerita kat sini, jadi sapa-sapa yang tak tahu tu boleh alert. Walaupun penjimatan hanya beberapa sen sahaja, lama-lama dari sen akan jadi ringgit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Yang ini ada service charge 53 sen.
Hampa tengok resit top up Touch 'n Go kat atas tu. Ada service charge 53 sen untuk top up sebanyak RM20.00. Tak pasti kadar service charge tu tetap atau berdasarkan kepada amount yang kita top up. Yang ini aku top up kat Stesyen Servis/Petrol Pump Petronas. Dia orang ni macam agent kot sebab itulah ada service charge. Buat kerja mestilah ada upah. Yang itu aku tak pertikaikan. Jangan salah paham. Aku pun kalau buat kerja mesti nak upah. Mana boleh bawa teksi free. Kalau girl fren yang naik lain la.....hahaha.....panjang sikit gelak kali ni. Rasanya kalau top up Touch 'n Go kat petrol pump atau 7eleven atau kedai-kedai yang seangkatan dengannya macam KK mesti kena service charge. Kalau hampa tak mahu kena service charge, kena top up kat tempat lain.

Yang ni tidak ada service charge
Okay, resit satu lagi ni, top up amount yang sama tapi tak kena service charge. Yang ini aku top up kat pondok tol lebuhraya. Rasanya semua pondok tol yang ada perkhidmatan tambah nilai tak kiralah hiway PLUS, Metramac, MTD dan sebagainya, semua tak kenakan service charge. Jadi, kita sebagai pengguna elok la gunakan perkhidmatan yang tak kenakan service charge. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit....hehe. Tak lama lagi puasa. Lepas tu rayalah kita. Semua pakat nak balik kampung. Penuhlah lebuhraya kita. Tol kena bayar. Sekarang ni boleh kata semua hiway dah pakai sistem pembayaran tol elektronik. Maksudnya hampa kena top up la. Dah la tol kena bayar, tak kan la nak top up untuk bayar tol pun kena charge jugak.....hehe. Lepas tu masuk hiway kena jem pulak.......berat....berat. Hampa tak suka? Jangan la gunakan hiway bertol. Atau hampa jangan balik kampung. Jangan la marah aku tulis macam tu. Aku belajar dari menteri. Dulu bila harga ayam naik, menteri tu kata jangan makan ayam.......hehe kan senang penyelesaiannya. Kata kuncinya JANGAN. Ingat tu, jangan lupa sampai bila-bila.  Okaylah pembaca semua. Cukuplah temberang aku untuk hari ini. Lain kali ada idea aku temberang benda lain pulak. Jumpa lagi.

Friday 19 May 2017

Limau ais yang sedap

Limau ais buat sendiri
Hampa tentu biasa minum limau ais kan. Perasan tak, ada restoran yang sedap limau aisnya dan ada jugak yang tak sedap. Sebenarnya yang memberi rasa sedap tu adalah bergantung kepada bahan yang digunakan untuk buat limau ais. Dulu aku pun tak tau. Lepas sorang kawan bagi tau barulah aku faham kenapa ada restoran yang limau ais mereka kurang umphhh. Limau ais yang aku ceritakan ini merujuk kepada yang menggunakan limau kasturi sahaja. Limau lain aku tak tau sebab aku tak pernah cuba...hehe.

Okay, la ni aku nak bagi tau hampa rahsia nak buat limau ais yang sedap. Hampa buatlah limau ais macam biasa cuma tambahkan garam. Garam kasar atau garam halus yang mana satu pun boleh tapi garam kasar lambat la sikit nak larut. Jenuh pulak kena kacau bagi larut. Itu sahaja rahsianya. Senang banget. Hampa try buat dulu baru hampa boleh rasa perbezaannya. Kuantiti garam tu hampa agak-agaklah. Tambah sikit-sikit pun tak pa, bagi ngam dengan kehendak hampalah. Biasanya kalau aku buat limau ais, aku akan gunakan 2-3 biji limau kasturi untuk satu gelas ukuran yang macam kat restoran biasa guna tu. Kalau buh sebiji sahaja, rasa limaunya tak kuat. Gula hampa agak-agak sendirilah. Biasanya gula kena lebih sebab limau tu masam akan hilangkan rasa manis gula. Oleh sebab banyak penggunaan gula, tak bolehlah minum selalu takut nanti kena kencing manis pula. Sekali sekala okaylah.

Dekat-dekat nak Ramadhan dah ni sebab tu la aku duk teringat minuman sejuk....hehe. Minggu depan hari Sabtu In Sha Allah mula berpuasalah kita. Di kesempatan ini aku nak mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak dan selamat beramal kepada pembaca dan pengunjung blog ini. Mudah-mudahan amal kita diterima Allah swt. Juga, ampun dan maaf dipinta sekiranya ada tulisan-tulisan merapu dan merepek dalam entri-entri yang ada di blog ini.

Thursday 27 April 2017

Bendi goreng mamak

Ini memang sayur kegemaran aku. Bendi goreng mamak. Aku kata goreng mamak sebab selalu jumpa kat kedai mamak. Bendi yang aku goreng ni nama saja goreng mamak tapi aku tibai masak ikut suka aku. Yang penting hasilnya mesti sedap hehe. Ye lah, sendiri nak makan kan.....mestilah rasanya sesuai dan kena dengan kehendak tekak sendiri. Ni dia rupa Bendi goreng mamak versi Pak Mat.....haha.

Biasa jumpa kat kedai mamak

Kut-kut la hampa nak try buat, ini dia resepinya;

Bahan
Bendi - kuantiti ikut hampa nak banyak mana
3 biji bawang kecil
2 ulas bawang putih
Sebiji telur
Sedikit ikan bilis
Sedikit serbuk kari daging
2-3 sudu makan minyak masak
Garam
Gula

Cara
- Potong Bendi dan ketepikan. 
- Panaskan minyak dan goreng ikan bilis. 
- Bila ikan bilis dah masak, masukkan bawang merah dan bawang putih. Tumis sekejap sahaja.
- Kemudian ketepikan ikan bilis serta bawang. 
- Pecahkan telur dan biarkan telur sedikit mengeras kemudian kacau telur bagi hancur.
- Masukkan bendi diikuti dengan serbuk kari. Gaul rata.
- Masak sehingga Bendi sedikit layu. 
- Perasakan dengan garam (dan gula jika perlu).
- Bila rasa dah sesuai dengan kehendak kita, matikan la api dan siaplah Bendi goreng mamak
untuk dihidangkan.

Thursday 20 April 2017

Teknik aku sendiri (untuk peminat FX) - Part 2

Hari ini aku nak sambung teknik FX yang biasa aku praktiskan. Part 1 hampa boleh cari kat sini  http://pipsterian.blogspot.my/2017/03/teknik-aku-sendiri-untuk-peminat-fx.html. Berikut ialah chart yang diambil dari entri pada Part 1;

Komponen indikator ada dua iaitu Weekly Pivot(Pink) dan Stochastic Oscillator(Gray) (setting 100,1,2)


Seperti yang dah diceritakan pada entri Part 1 dulu, Stochastic (100,1,2) ada kaitan rapat dengan Weekly Pivot dalam mentafsir pergerakan harga. Pointnya ialah bila Stoch (Stochastic Oscillator) naik melepasi level 80 maka price akan mula menjarakkan diri dengan Weekly Pivot atau dalam kata lain price mula bergerak ke arah atas/naik. Begitu juga jika Stoch turun melepas level 20 maka price akan mula menjarakkan diri dengan Weekly Pivot iaitu price akan mula bergerak ke arah bawah/turun. Dari sini, kita boleh ambil kesimpulan bahawa, sekiranya Stoch berada dalam lingkungan level antara 20 ke 80 maka tidak akan berlaku pergerakan harga naik atau turun yang besar sebab price hanya akan bergerak naik atau turun apabila Stoch berada di atas level 80 atau di bawah level 20. Ringkasannya seperti berikut;

Stoch 80 -100 = pergerakan harga menaik atau  uptrend
Stoch 20 - 80 = tiada pergerakan harga yang ketara atau tiada trend 
Stoch 0 - 20 = Pergerakan harga menurun atau downtrend 

Jadi bila nak open position pastikan ada trend. Kalau tak ada trend jangan open position sebab price tak akan ke mana-mana. Chart yang ditunjukkan di atas ialah pada Time Frame 1 Hour (TF1H). Sebenarnya apa yang berlaku pada TF1H boleh dilihat pada chart TF4H. Tapi ada teknik dan caranya. Kalau dah jumpa teknik dan caranya kerja pun jadi mudah. Yang penting faham dulu setiap indi yang kita gunakan. Sekarang mari kita lihat chart yang saya gunakan pada TF4H;

Weekly Pivot masih ada (Pink) tapi ada tambahan R1, R2 & S1, S2 serta Stochastic Oscillator (Orange) (Setting 21,2,2)

















Pada chart TF4H, Weekly Pivot masih ada cuma ada tambahan R1 dan R2 iaitu Resistance 1 dan Resistance 2 yang color biru. Color hijau muda tu ialah Support 1 dan Support 2. Kalau hampa nak faham forex, hampa kena faham apa dia garisan resistance dan support. Resistance dan support ini digunakan oleh hampir semua fund manager di dunia ini tak kiralah dalam trading saham, commodity, futures, forex dan lain-lain. Sebab tu aku kata benda ni penting dan memang wajib kita faham. Selain dari weekly pivot, hampa boleh nampak ada satu lagi indikator color oren iaitu Stochastic Oscillator tapi kali ini setting dia adalah seperti berikut;

Stochastic Oscillator setting 21,2,2
Hampa dah tengok setting dia berapa kan? Kenapa setting 21,2,2 bukan yang lain contohnya 15,5,5? Jawapannya ialah dengan setting 21,2,2 pada TF4H, pergerakan Stoch pada TF4H adalah hampir sama dengan pergerakan Stoch 100,1,2 pada TF1H. Maksudnya, dengan hanya melihat kepada Stoch pada TF4H tanpa melihat kepada Stoch pada TF1H, kita dah boleh kesan pergerakan trend yang berlaku. Hampa tak faham, tengok chart bawah ni;

Lihat garisan vertical merah. Stoch di atas level 80 dan price mula menjarakkan diri (naik) daripada Weekly Pivot.
















Sekarang lihat pula chart yang sama tapi pada TF4H;

Lihat Stoch (21,2,2) cross level 80 ke atas price pun mula menjarakkan diri daripada weekly pivot dengan bergerak ke atas.

















Ringkasnya, bila Stoch 100,1,2 cross level 80 ke arah atas pada TF1H, pada masa yang sama Stoch 21,2,2 pada TF4H turut cross level 80 ke arah atas. Kedua-dua Stoch pada TF yang berbeza ini memberi petunjuk yang sama. Ini adalah cara aku setting chart pada TF yang berbeza tetapi memberikan petunjuk yang sama. Aku buat cara macam ni supaya tidak keliru dan tidak mendapat petunjuk yang berbeza bagi setiap TF yang berlainan.

Konsep penggunaan petunjuk yang dihasilkan oleh indikator pada TF4H adalah sama macam TF1H iaitu untuk uptrend, bila Stoch berada pada level 80-100, price mesti berada di atas weekly pivot. Kalau price terbabas berada di bawah weekly pivot itulah dia peluang BUY/LONG. Untuk downtrend pulak, bila Stoch berada pada level 20-0, price mestilah berada di bawah weekly pivot. Kalau price masa ini berada di atas weekly pivot itulah dia peluang SELL/SHORT. Benda ini apply kepada TF1H dan TF4H. Kalau nak sharp lagi boleh guna setting 21,2,1 untuk Stoch pada TF4H.

Stoch 21,2,1 pada TF4H lebih sharp.

















Sekali lagi aku nak tekankan di sini. Bila Stoch, tak kiralah TF1H atau TF4H berada dalam lingkungan 0-20 maka apa saja price yang berada di atas weekly pivot adalah peluang SELL/SHORT. Tapi, ada tapinya ya. Nak cari price berada di atas garisan weekly pivot bila Stoch berada pada level 0-20 bukannya selalu jumpa. Jadi, price yang hampir menyentuh weekly pivot juga boleh diambil kira sebagai peluang SELL/SHORT. Begitu juga jika Stoch berada pada level 80-100, price yang hampir menyentuh weekly pivot juga boleh dijadikan petunjuk untuk open position BUY/LONG. Sebagai contohnya adalah seperti chart di bawah ini. Ini adalah chart pada TF4H;

Nampak tak dua peluang SELL/SHORT dalam keadaan price hampir menyentuh weekly pivot.

















Jika anda  menggunakan TF4H untuk trading letakkan TP - take profit anda pada julap yang lebih besar kerana pergerakan price pada TF4H selalunya besar, boleh mencapai 50-100 pip. Malahan ada yang lebih dari itu. Chart kat bawah ini pula ialah chart dua peluang SELL/SHORT sama macam yang kat atas tadi tapi TFnya ialah TF1H;

Nampak tak price hampir menyentuh weekly pivot yang menunjukkan peluang SELL/SHORT.

















Okay, setakat ini dulu untuk Part 2. In Sha Allah, ada kelapangan aku sambung pada Part 3. Chart yang aku tunjukkan ini sebenarnya hanya basic sahaja. Kalau hampa nak tengok chart yang aku biasa guna sebenarnya akan kelihatan begini;

Time Frame 1 Hour

















Time Frame 4 Hour

















Nampak serabut. Sebab itulah aku tunjukkan sikit-sikit dulu. Nanti hampa pening. Walaupun serabut tapi semua indikator tu ada maksudnya dan ada keperluannya jadi kenalah masukkan juga. Kalau abaikan, kemungkinan kita baca dan dapat signal yang salah. Indi yang yang lain tu jika ada kelapangan aku akan ceritakan satu persatu.

Thursday 30 March 2017

Teknik aku sendiri (untuk peminat FX) - Part 1

Zaman ekonomi nak menguncup rasanya dah dekat-dekat nak sampai. Tanda benda sebegini nak berlaku dah banyak yang ada. Inflasi naik. Kadar pengangguran naik. Hutang naik. Kuasa beli menurun. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin makin miskin. Itu antara tanda-tandanya. Walau apa pun pihak yang berwajib cakap, hakikatnya ekonomi memang tak bagus sekarang ni. Tambah lagi dengan rasuah yang berleluasa macam cendawan tumbuh lepas hujan, mana mungkin keadaan akan menjadi lebih baik dari apa yang ada sekarang. Eloklah kepada sesiapa yang ada duit tu, simpan dan berjimat cermatlah. Beli benda yang perlu sahaja. Yang kurang perlu tangguhkan dulu pembeliannya. Masa ekonomi meleset, cash jadi king. Aset-aset seperti rumah dan tanah akan jadi teramat murah. Masa itulah cash betul-betul jadi king.

Haii....apa la aku meraban panjang. Padahal aku nak cerita teknik forex yang simple yang barangkali berguna kepada sesapa yang selalu nak dapatkan pip hijau tapi rezeki dapat pip merah. Teknik ini aku olah sendiri. Sesuai pakai untuk time frame satu jam, jangan guna untuk time frame selain dari satu jam. Teknik ini memang aku pakai bila nak open position. Tapi.....teknik aku bukan satu ini sahaja. Ada teknik lain lagi. Teknik lain untuk time frame yang berlainan. Sebab tu aku cakap, untuk teknik ini jangan gunakan pada time frame selain dari satu jam. Teknik lain untuk time frame lain nantilah bila senang aku cerita. Hari ni aku nak bagi teknik yang satu ini cukuplah.

Ada dua indicator yang paling penting perlu ada dalam teknik ini. Pertama, weekly pivot dan kedua Stochastic Oscillator. Setting Stochastic adalah seperti berikut;

Setting Stochastic Oscillator.
Setelah dimasukkan indicator, chart akan kelihatan seperti berikut;

Garisan pink weekly pivot dan Stochastic color gray.
Hampa nampak ada garisan melintang putus-putus satu color hijau dan satu color merah. Itu ialah open order sell at 1.2443 dan letak siap-siap target profit pada 1.2423 iaitu profit 20 pips. Kalau price turun 20 pip untunglah aku 20 pip. Kita tengok nanti ada untung atau ada rugi. Ini bukan akaun demo ya, ini akaun real. Aku suka letak target profit ni bukan apa. In case ada customer call aku nak pakai teksi, aku tinggalkan sajalah open order tu macam tu saja. Yang bestnya, bila aku balik setelah selesai hantar customer biasanya target profit aku dah sampai. Syok la jugak pasal sini masyuk sana pun masyuk......hehe.

Berbalik kepada cara guna indikator yang kat atas tadi tu. Mula-mula kena tahu dulu apa itu weekly pivot dan Stochastic Oscillator. Weekly pivot ialah titik tengah atau median price untuk seminggu. Stochastic Oscillator pula ialah "The stochastic oscillator is a momentum indicator comparing the closing price of a security to the range of its prices over a certain period of time. The sensitivity of the oscillator to market movements is reducible by adjusting that time period or by taking a moving average of the result.'' Hampa translate sendirilah naa.....aku malas nak translate....hehe. Tapi kalau hampa tak paham jugak, PM aku, nanti aku jawab In Sha Allah.

Apa yang penting ialah kita kena tahu perangai Stochastic ni. Pergerakannya ada maksud tertentu. Sebab tu kalau hampa tengok Stochastic tu ada level 20, 50 dan 80. Kalau hampa paham Stochastic ni betul-betul memang senanglah hampa nak cari pip hijau. Dalam teknik aku ni, ciri yang kena paham ialah price hanya akan betul-betul naik apabila Stochastic naik melepasi garisan 80 dan price hanya akan betul-betul turun bila Stochastic turun melepasi garisan 20. Maksudnya price hanya betul-betul bergerak naik jika bacaan Stochastic berada dalam lingkungan 80 hingga 100. Kawasan 80 hingga 100 ini dinamakan kawsan over bought. Walaupun nama dia over bought tak bermakna terlebih beli. Definisi aku yang sesuai untuk istilah over bought ini ialah "terlebih permintaan atau over demand". Terlebih permintaan atau over demand kalau dalam ekonomi akan menyebabkan harga meningkat. Jadi bila Stochastic naik melepasi garisan 80 bermakna price akan mula meningkat naik. 

Sama juga bila Stochastic turun melepasi garisan 20, dari sinilah price benar-benar mula bergerak turun. Kawasan antara 20 hingga 0 dinamakan sebagai over sold. Sekali lagi jangan confuse dengan istilah over sold. Bukan terlebih jual. Pada aku over sold bermaksud permintaan kurang atau less demand. Nak jual sesuatu tapi tak ada buyer jadilah price makin lama makin menurun. Lebih kurang macam tu lah yang aku faham. Senang saja walaupun nampak berbelit-belit. 

Baik, aku dah bagi tau hampa keadaan Stochastic yang macam mana yang menunjukkan price akan benar-benar bergerak naik atau turun. Tadi aku dah habaq mai pasal weekly pivot. Kan maksud pivot itu ialah titik tengah atau median. Jadi, untuk price mula bergerak naik atau turun ianya mestilah bermula dari titik tengah. Dari sini kita boleh tahu sekiranya Stochastic menunjukkan nilai 10, price WAJIB berada di bawah weekly pivot. Kalaulah Stochastic menunjukkan nilai 10 tetapi price berada di atas weekly period maksud yang nyata tanpa perlu disuluh lagi ialah price tidak sepatutnya berada di situ. Lambat laun price akan turun dan berada di bawah weekly period. Kita dah tau price akan turun, tunggu apa lagi sell/short lah masa price berada di atas weekly period. Tok sah buh target profit banyak-banyak. Aku biasa buh 10 ke 20 pip je. Cukuplah banyak tu. Kalau letak target profit sampai 50 pip takut tak boleh sampai. Kena pulak Stochastic reverse naik balik, naya dari untung jadi rugi.

Begitu juga jika Stochastic menunjukkan nilai contohnya 90, price sepatutnya berada di atas weekly period. Sekiranya price berada di bawah weekly period maka itu adalah peluang buy/long. Sama juga macam kes kat sell tadi, target profit jangan banyak. Cukup 10 ke 20 pip sahaja. Kalau nak target profit banyak kena guna time frame yang lebih panjang. Contohnya empat jam atau satu hari tapi tekniknya lain la pulak. Macam aku kata tadi, lain time frame lain tekniknya.

Sekarang mari kita lihat apa hasilnya order sell/short yang aku buat tadi. Order tadi ialah sell GBPUSD at 1.2443 dan target profit aku setkan 20 pip iaitu pada harga 1.2423. Waktu order tersebut ialah jam 07:50 mengikut masa Broker. Waktu atau masa Broker ini hampa boleh tengok pada sebelah kanan atas chart yang ada tulis "bar left" kemudian di bawahnya "Broker", "Sydney", "Tokyo", "China'' dan seterusnya. Berikut adalah chart yang sama cuma waktunya ialah 10:26 (waktu Broker);


Price sekarang 1.2420. Target profit aku 1.2423. Dah sampai pun. Masyukkkk 20 pip. Senang kan.....
Nampak tak target profit aku dah kena. Bukan susah pun nak untung forex ni cuma janganlah tamak. Kalau modal 100 jangan la harap seminggu nak untung 100. Kalau modal 100 dan untung seminggu 100 bermakna untung anda dalam sebulan dalam bentuk percentage ialah 100%. Jika setahun akan jadi 1200%. Pelaburan apa yang boleh untung sebegini banyak? Tak masuk akal kan....jadi kena la realistik. Kalau pelaburan 100, cukup setahun untung 50 maknanya 50% itu pun dah kira sangat bagus. Adakah pelaburan lain macam unit trust, fixed deposit, simpanan wajib persaraan, saham bank rakyat dan sebagainya memberikan pulangan sebanyak itu? Jawapannya tak ada. Sebab itulah aku kata kalau modal 100, dalam setahun untung 50 pun dah memadai. Tapi nak habaq mai la kan, hampa boleh expect monthly profit dalam 20-30%. Kalau ambil 20% sebulan. Setahun dah 240%.......haha itu kalau hampa paham dan mahir menafsir indikator. Kalau hampa tak paham, jangan kata untung.......akhirnya rugi yang dapat. Biasanya yang rugi amatlah ramai. Yang ini cerita benar. Jadi awas ya, yang nampak cantik dan hebat tak semestinya selamat.

Dan yang ini ialah current order aku. Tengah duk tunggu target profit tapi kali ini aku tak letak banyak. Dalam 13 pip macam tu je;
Buy AUDUSD at 0.7655. Target profit at 0.7668. Current price 0.7663. Current profit 8 pip. Tunggu lagi 5 pip.
Nampak tak peluang BUY bila Stochastic nilainya 86 yang mana price sepatutnya berada di atas weekly pivot tetapi masa tu price berada di bawah weekly pivot. Sebenarnya ada indikator lain sepatutnya ada dalam chart ini tetapi untuk memudahkan kefahaman korang, indikator lain semuanya aku buang tinggal dua sahaja. Kalau buh semua nanti hampa pening. Nanti kalau ada masa aku sambung dan tambah lagi indikator yang patut ada dalam chart ini. Indikator lain tu ialah untuk signal open order selain dari guna Stochastic yang kat atas tu. Maknanya nak open position jangan bergantung kepada satu sumber sahaja, kalau ada banyak sumber lagi banyak peluang yang kita boleh nampak. Indikator yang lain-lain tu kalau ada masa aku sambung pada part seterusnya.

Tuesday 28 March 2017

Ini dia tempat untuk beli buah-buahan dengan harga yang agak murah.

Hampa sebut saja buah apa. Boleh kata semua ada cuma buah-buahan yang bermusim tu bergantung kepada musimnyalah. Mangga, tembikai, tembikai susu, rock melon, buah naga, buah kedondong, nenas, pisang tempatan dan import, nangka, kundang, markisa, anggur, limau tambun, limau sunkist, kelapa muda, epal, plum, betik, manggis, durian, rambutan, longan, laici dan macam-macam lagilah. Pendek kata semua ada. Tapi kalau bukan musim memang tak adalah. Itu saja pengecualiannya. Itu aku cerita secara am sahaja. Kalau nak perincikan jenuh jugak la. Macam buah mangga, ada macam-macam jenis mangga. Yang paling aku suka mangga dragon. Yang ini manisnya huiiii mak aii memang best. Kalau nak manis lagi kena peramkan sampai ranum. Bila cukup ranum, makan sebiji tak puas. Tappi.....ada tapinya jugak hehe......harga dia mahal. Kalau beli kat tempat yang murah ni sekilo harga dia RM10. Itu untuk yang saiz biasa. Untuk yang bersaiz besar harganya sekilo RM15. Yang besar boleh mencapai 1 kilo lebih sebiji. Selain dari mangga dragon, ada mangga lily, falan, susu dan lain-lain.

Inilah rupa mangga Dragon. Rasanya memang manis. 6 biji ni beratnya 2 kg.
Baru-baru ni aku ternampak buah kundang. Ada tempat panggil buah menia atau ramunia. Dulu dekat-dekat dengan rumah aku masa duk Gunung Semanggol ada sepohohon pokok kundang yang sangat besar dan rendang. Kalau musim berbuah banyaklah monyet-monyet datang bertandang. Aku selalu kutip buah kudang yang masak ranum jatuh ke tanah bila dahan bergoyang di panjat monyet. Aku suka buah ni. Hari tu aku ingat nak beli barang sekilo. Sekali tanya, harganya sekilo RM30. Tak jadi aku nak beli. Mak aii mahal betul harga buah kundang sekarang ni. Lepas tu aku survey tempat lain, paling bawah boleh dapat RM20 sekilo itu pun saiznya sedikit kecil. Terlupa nak ambil gambar. Jadi tak dapatlah nak upload gambar buah kundang kat sini.

Nyiok muda aku selalu beli kat sini. Sebiji RM2.50
Salah satu kedai buah kat kawasan ini. Aku rasa mungkin ada sampai 30 kedai buah di kawasan ini.
Macam-macam buah ada. Perut lapar jangan mai sini. Nanti hampa borong ikut nafsu.
Berbagai jenis mangga.
Limau Bali @ Limau Tambun.

Yang kuning tu Mangga Lily. Color kuning tapi sebenarnya belum masak lagi. Nak yang masak cari yang lembut.
Buah Kedondong dan keladi.
Tembikai merah.
Limau Kasturi.
Kelapa Pandan.
Durian. La ni mahai sungguh.
Buah Naga.
Mangga Lily. Nampak tak colornya kuning tapi isinya keras lagi. Peram lagi 3-4 hari baru masak.
Jambu Batu.
Nenas untuk buat sayur.
Pisang.
Nangka. Ada berbagai jenis - madu, tempatan, sime darby. Paling best madu sebab reganya pun best haha.
Pendek kata kalau hampa mai sini, carilah buah apa pun yang berkenan di hati In Sha Allah jumpa. Kedai-kedai buah kat sini jual buah cara borong tapi kalau kita nak beli dalam kuantiti kecil sekilo dua depa tetap jual jugak. Buah-buahan import biasanya depa simpan dalam bilik sejuk. Peniaga buah-buahan dan peniaga pasar malam biasa ambil bekalan di sini. Depa dapat harga yang lebih murah sebab depa beli dalam kuantiti yang banyak.

Okay, dah jenuh cerita jom la aku bagi tau kat mana tempatnya. Kalau hampa ada waze type saja Pasar Borong Kuala Lumpur. Hampa ikut jalan yang ditunjukkan oleh waze tu tapi jangan la sampai masuk ke dalam kawasan pasar borong. Nak masuk ke dalam kawasan pasar borong ada pondok tol. Hampa tak payah la pi sampai dalam tu walaupun kat dalam tu ada jugak kedai buah-buahan borong. Kat kawasan luar pun banyak. Hampa pilih la mana kedai yang hampa suka. Harga lebih kurang je. Tempat ni nama dia yang lebih tepat ialah Pusat Bandar Utara. Walaupun dekat benar dengan Selayang tapi kawasan ini adalah dalam wilayah Kuala Lumpur. Banyak bank kat sini. Kampung orang Myanmar pun ya jugak. Myanmar muslim. Ramai sungguh orang depa kat sini.

Pusat Bandar Utara dekat bulatan Batu Caves.
















Lokasi kedai buah-buahan ialah sepanjang jalan yang ada titik biru

Titik-titik biru itu adalah Jalan 6/3A & Jalan 2/3A. Sepanjang jalan tersebut ada kedai buah-buahan.

Ini ialah Jalan 6/3A.
Peta-peta di atas hampa boleh zoom untuk nampak lebih jelas. Ada juga kedai buah-buahan di jalan selain Jalan 6/3A dan Jalan 2/3A tapi tak banyak macam yang ada di kedua-dua jalan ini. Selain dari buah-buahan hampa boleh juga borong bawang dan kentang. Lalu Jalan 6/3A mesti hampa boleh nampak kedai jual bawang dan kentang.

Jalan 2/3A. Tingkat bawah sepanjang jalan ini adalah kedai buah-buahan. Hujung jalan ni ada bank cap kepala rimau.


Jalan 6/3A. Tingkat bawah kedai tu boleh dikatakan semuanya kedai buah-buahan.
Kalau nak kenduri atau buat open house elok la hampa cari buah kat sini. Memang tidak menghampakan. Kalau hampa rajin boleh la masuk ke dalam kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur. boleh beli sayur atau makanan laut tetapi kuantiti sikit depa tak jual. Kurang-kurang kena beli 5kg. Kalau dalam kawasan pasar borong hampa boleh beli sayur pada bila-bila masa. Ikan hanya dijual mula pukul 1 pagi sampai pukul 7 pagi. Pukul 7 pagi tu pun dah banyak yang tutup kedai. Ada tinggal satu dua kedai ikan sahaja lagi yang buka. Paling cantik last call pukul 6 pagi. Kalau hampa nak beli ikan jangan datang awal, pukul 1 pagi masa pasar baru buka. Masa tu harga mahal. Datang lewat sikit dalam pukul 5.30 pagi macam tu. Harga murah sikit sebab peniaga nak clearkan stok.