Saturday, 30 July 2016

Semua aku angkut.

Ada satu hari tu ada seorang Nepal telefon aku. Aku kenal orang ni. Biasa naik teksi aku. Kalau untuk perjalanan jauh mesti dia akan cari aku punya. Tapi dia panggil aku kali ini untuk perjalanan yang dekat. Nak beli kambing je katanya. Disebabkan masa tu hujan lebat aku rasa mungkin dia malas nak jalan. Atau mungkin juga dia tak tahu di mana nak cari kambing. Aku fikir mesti dia nak cari mutton. Dia nak aku bawa dia ke kedai jual kambinglah tu. Disebabkan hujan lebat sebelum tu, kebanyakan jalan rendah dinaiki air. Nepal ni minta aku pi rumah kawan dia dulu. Kawan dia orang Pakistan. Jenuh jugak nak cari sebab dia pun tak berapa cam rumah kawan Pakistan dia tu. Tambah pulak sesetengah jalan dinaiki air, kenderaan ringan tak dapat nak lalu. Terpaksa aku berpusing cari jalan alternatif. 

Nasib baiklah sekejap sahaja cari kawan Pakistan dia tu terus jumpa. Naik je teksi mamat Pakistan ni terus minta aku ke satu tempat lain. Aku hairan jugak kenapa dia orang ni nak ke tempat tu padahal kalau nak beli kambing tempatnya yang aku tahu dekat belakang pasar borong. Dalam musykil aku tu terus jugak la aku memandu ke tempat yang Pakistan tu sebut tadi. Tempat ni taklah berapa jauh tapi kalau berjalan kaki dekat-dekat sejam jugak kut. Dah sampai ke tempat yang nak dituju, Pakistan tu minta aku jalan terus lagi masuk ke dalam kawasan tepi hutan. Hujan dah berhenti tapi jalan lecah penuh dengan lopak air. Jalan tepi hutan ni tidak bertar. Jalan tanah merah dengan batu kelikir sahaja.

Masa aku bawa dua orang ni, orang Nepal dan Pakistan, aku perasan dia orang boleh bersembang rancak. Bahasa apa tah dia orang guna aku tak faham. Mungkin bahasa hindi atau urdu kut, tak tahu la pulak. Aku pun tanya la dia orang boleh faham bahasa masing-masing ke. Dia orang cakap bahasa Nepal dengan bahasa Pakistan lebih kurang sama. Macam bahasa Malaysia dengan Indonesia. Barulah aku tahu rupanya dua negara tu iaitu Nepal dengan Pakistan bahasanya hampir-hampir sama. Inilah yang aku seronok jadi pemandu teksi. Pengetahuan am macam ni selalu aku dapat dari orang asing. Biasanya kalau aku bawa orang asing tak kira pelancong atau bekerja di Malaysia pasti aku kelentong dia orang. Hampa jangan salah faham no, bukan aku kelentong tambang teksi atau aku bawa jalan jauh. Maksud aku, kalau aku bawa orang jenis macam ni mesti aku kelentong pasal negeri dia orang sendiri. Kadang-kadang ternganga dia orang dengar aku cerita pasal negeri dia orang. Lepas tu mesti dia orang bangga sebab orang luar tahu pasal negeri dia orang. Cerita macam ni nanti lain kali aku cerita dalam topik lain. Kali ni biar la aku habiskan cerita pasal Nepal dan Pakistan cari kambing tadi. Aku saja konar dulu bagi hampa tertunggu-tunggu......hehe!

Jalan-punya jalan akhirnya sampailah ke tempat yang dituju. Oh rupanya dia orang ni nak ke sini kata hati aku. Memang betul la dia orang nak cari kambing.  Aku je yang salah faham. Hampa nak tau apa dia. Tengok video bawah ni. Aku sempat rakam bila dah balik sampai depan rumah dia orang;

video

Tu lah dia kambing yang dia orang nak. Dia orang bawa aku ke kandang kambing tepi hutan untuk beli kambing hidup. Mati-mati aku ingat dia orang nak cari daging kambing. Rupanya nak beli seekor kambing hidup. Nak buat bbq kata dia orang. Mahu tak mahu kena jugak la masukkan dalam bonet. Nasib baik sampai rumah hidup lagi kambing tu. Aku takut kambing tu mati tak boleh bernafas je. Hebat betul teksi aku ni, kambing hidup pun aku angkut sekali kan....hehe.