Wednesday 24 February 2016

Teksi Pak Mat

April fool lambat lagi. Apa yang hampa nampak kat name card ni memang betul.
Pakcik teksi kat atas tu bawa teksi bajet Lembah Klang area Batu Caves/Selayang. Pakcik ni memang baik hati dan berhemah tinggi. Kalau hampa perlu perkhidmatan teksi elok la hampa call dia. Setakat ini dialah pemandu teksi paling baik di kawasan Batu Caves/ Selayang.....hehe. Pakcik ni baru bawa teksi. Tak silap hari Sabtu lepas dia mula bawa. Part time aje katanya. Teksi kawan. Permit kawan punya. Dah habis bayar bank. Kawan kepada pakcik ni dah liat nak bawa teksi jadi dia suruh pakcik yang sorang ni gantikan dia. Teksi ada tapi tak jalan, rugi je kata kawannya. Kawan kepada pakcik ni tak tetapkan sewa. Ikut sukalah nak bagi banyak mana. Hampa jangan salah paham. Sewa yang dimaksudkan di sini ialah sewa teksi pakcik yang kat atas tu kepada kawannya, tuan punya teksi tu. Bukannya tambang teksi ye.....hehe. Tambang teksi biasa la.......ikut meterrrrr.

Pakcik ni kan, lepas hari pertama bawa teksi terus demam. Agaknya penat kut. Kesian dia. Tak apalah pakcik. Cari rezeki halal. Lagi pun demam dan sakit tu kira kifarah, meghapuskan dosa kecil......insyallah. Kalau hampa perasan la kan. Muka pakcik kat name card tu sama macam muka aku. Aku rasa la pakcik tu aku kot. Hehe......memang betul pun, aku la pakcik tu. Aku nak tukar kerjaya la pulak. Penat dah makan gaji. Nak kerja sendiri pulak. Bebas tentukan masa kerja tapi buat permulaan ni part time dululah. Kalau okay nanti bolehlah teruskan. Insyaallah. Jadi, kalau ada sesiapa nak guna perkhidmatan teksi silalah call/whatsapp nombor tertera pada name card kat atas tu.

Penangan Daging Masak Halia

Tengah tunggu giliran. No aku 109.

Semalam badan rasa tak sihat. Petang lebih kurang pukul enam aku pi klinik kesihatan. Waktu ini orang tak ramai. Masing-masing tengah sibuk balik kerja dan ada yang ambil anak sekolah agaknya. Sebenarnya tip ini pembantu perubatan yang bagi info kat aku. Katanya masa pukul 5-7 petang itulah waktu paling kurang pesakit di klinik kerajaan. So far aku amalkan tip yang dia bagi tu. Alhamdulillah memang betul. Paling lama setengah jam je menunggu. Selamat duit 4-5 puluh ringgit kalau pi klinik swasta. 

Kelmarin dulu lepas masak daging goreng halia aku wasap gambar masakan aku kat sorang kawan. Kesian dia terliur tengok gambar tu tapi tak boleh makan daging sebab kalau makan daging blood pressure dia naik. Aku sebenarnya tak tahu dia ada masalah tu sebab itulah aku send gambar daging goreng halia kat dia. Gurau-gurau dengan dia, aku kata la dia dah masuk kelab veteran. 

Tak sangka pulak semalam badan aku tak sihat. Kena selsema. Bersin dan tekak rasa gatal. Bila jumpa doktor check la blood pressure. Sekali tengok result........nah ambik kau 103/153. Hehe tu la duk mengata orang masuk kelab veteran akhirnya kena kat aku balik. Dapat balasan tunai. Hari ini bercutilah aku. Itulah sebabnya sempat aku update blog ini.......hehe. Nasib baik kawan aku tu tak pulangkan paku buah keras....sporting kan.

Aku Mengidam Daging Masak Halia

Dua tiga hari lepas teringin nak makan daging. Laju aku memikir daging nak masak apa? Resipi yang paling senang. Malas nak lama-lama kat dapur. Finally aku rasa elok masak daging goreng halia. Senang dan cepat. So aku pi pasaraya beli daging setengah kilo. Saleri sikit dan kacang panjang sikit. Ingat nak masukkan juga carrot tapi bila fikir balik nanti masakan aku lebih sayur dari dagingnya. So tak payah la beli carrot. Cukuplah dengan apa yang aku dah beli.

Balik rumah aku teruskan operasi. Kali ini kerja aku senang sebab daging dah dihiris nipis siap-siap kat pasaraya. Aku selalu pi pasaraya tu. Ramai pekerjanya yang aku kenal. Dia oranglah yang offer potong daging itu. Aku minta dia orang potong nipis. Guna mesin pemotong sat je. Tapi kali ni dia orang potong tebal sikit. Kira okaylah, tebal pun sikit je. Setelah daging dibasuh aku gaulkan dengan kunyit, garam, serbuk cukup rasa dan sedikit gula. Gula tu sikitttttt je.....hehe, cuma nak balancekan rasa. Setengah orang perap dulu daging tu lepas basuh dan gaul dengan bahan-bahannya supaya rasanya meresap ke dalam daging. Tapi sebab aku ni malas sikit tak adalah perap-perap dah. Terus masak je. Semasa gaulkan kunyit, garam, serbuk cukup rasa dan gula ini kena hati-hati sikit. Kena rasa dulu biar taste dia mencukupi sebab nanti masa masak dah tak perlu masukkan bahan-bahan tu lagi. Kalau aku, cara paling senang ialah setelah gaulkan semua bahan-bahan tu bersama daging, letakkan jari kat lidah. Ni kira aku gaul dengan tangan la. Kalau dengan sudu, hampa letak la sudu kat lidah. Dari situ boleh rasa cukup masin atau tidak. Elok kalau garam masukkan sikit-sikit supaya tak terlebih masin. Pandai-pandailah adjust tambah mana yang kurang. Panjang kelentong kali ni, jom la tengok resepi lengkap masakan aku yang tak sedap tara mana pun. Mula-mula tengok gambar dulu la.....hehe

Daging goreng halia.

Resepi Daging Goreng Halia
Bahan
1/2 kg daging hiris nipis
3 tangkai kacang panjang potong pendek
sedikit batang saleri potong ikut suka
1 biji bawang holland (aku guna bawang besar biasa) belah ikut suka (sebiji aku belah 8)
10 tangkai cili api nak ketuk boleh tak nak ketuk pun boleh
1 inci halia hiris nipis
4 ulas bawang putih diketuk
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil kicap manis
Sedikit serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk cukup rasa maggi
Serbuk kunyit secukup rasa
Gula secukup rasa
3-4 sudu besar minyak masak

Cara
Gaul daging dengan kunyit, garam, serbuk cukup rasa dan gula. Dalam kuali buh air sikit kemudian masukkan daging. Masak sampai daging empuk. Kalau air kering sebelum daging empuk, tambah lagi air.

Setelah daging empuk masak lagi sehingga air hampir kering kemudian tambahkan minyak masak dalam 3-4 sudu makan. Goreng sekejap.

Kemudian masukkan bawang holland, bawang putih, kacang panjang, cili api dan batang saleri. Gaul rata.

Last masukkan serbuk lada hitam, kicap manis dan sos tiram. Gaul lagi bagi sebati. Bila bawang holland dan kacang panjang dah agak sedikit layu matikan api. Siap untuk dihidang.

*p/s - sayur tu ikut suka nak buh apa. Kacang panjang, saleri, carrot, brokoli atau kubis bunga mana-mana yang disukailah.

Tuesday 23 February 2016

Buah ini membawa aku mengenangkan kembali zaman kanak-kanak.

Lama dah aku tak jumpa buah yang satu ini. Kawasan rumah aku sekarang memang buah ini tak akan dijumpai. Kalau jumpa buah ini segera fikiran aku akan melayang ingat zaman kanak-kanak. Buah ini sangat banyak kat belakang rumah aku dulu. Pokoknya menjalar dan memanjat pokok nipah. Buahnya berjuntaian dan kalau masak warnanya bertukar hitam. Sekali tengok seolah-olah buah anggur hitam, sungguh menyelerakan. Buah yang muda berwarna hijau. Bila nampak buah ini rasa nak petik dan terus makan tapi tak pernah di buat orang. Kalau dicampur dalam masakan kari atau asam pedas memang ada namun aku tak pernah makan kari atau asam pedas yang dicampur dengan buah ini. 

Buah Lakum
Kalau di kampung aku buah ini dikenali sebagai Buah Lakum. Masa belajar mengaji bila sampai ke ayat Lakum Diinukum Waliya Diin” buah inilah yang bermain dalam fikiran aku. Tentulah ayat tersebut tidak ada kaitan dengan buah lakum. Hanya nama dan sebutannya sahaja yang sama.

Anak-anak aku tak tahu ini buah apa.
Anak-anak orang bandar rasanya tak tahu buah ini buah apa. Anak aku dua-dua tak tahu. Membesar di bandar memang jauh bezanya dengan membesar di kampung. Aku dulu kalau tengok daun pokok mempelam pun aku dah tahu jenis apakah mempelam itu. Tapi skill tu hilang sedikit demi sedikit bila aku keluar meniggalkan kampung halaman.

Buah lakum sinonim dengan pokok nipah. Pelepah nipah yang tinggi menjadi tempat pokok lakum menjalar naik. Selain sinonim dengan pokok nipah, bagi aku buah lakum ini sinonim dengan sawah padi. Di belakang rumah aku dulu ada sawah padi dan pokok nipah. Itulah tempat aku bermain dan mencari ikan laga. Biasanya kalau ada pokok nipah adalah ikan sempilai atau ikan laga. Dulu aku panggil ikan laga sebagai ikan sempilai. Ikan sempilai sangat cantik. Warna setiap ikan berbeza antara satu sama lain. Ikan ni buat sarang dan bertelur di celah-celah pangkal pelepah nipah. Nak tengok sarangnya senang sahaja. Kalau celah pelepah nipah berbuih maknanya adalah ikan sempilai ada di situ. 

Ikan Sempilai @ Ikan Laga. Gambar hasil carian google.
Tapi kena kenal jugak buihnya. Buih ikan sempilai strukturnya kecil. Ada satu lagi ikan yang seakan sama ikan sempilai. Lupa nama dia. Ikan yang satu lagi ini menghasilkan buih yang berstruktur sedikit kasar. Ikan itu pun cantik juga cuma ianya tidaklah secantik ikan sempilai. Kalau ikan sempilai, pantang jumpa ikan sempilai lain, mereka akan berlaga@lawan sebab itulah ianya dinamakan juga ikan laga. Ikan yang sejenis lagi tu tidak berlawan. Itulah bezanya dua jenis ikan ini. Best betul zaman aku membesar di kampung. Pengalaman macam ni dah tak ada lagi sekarang ini. Zaman dah berubah. Aku pasti sentiasa merindui zaman kanak-kanak dulu.

Sunday 14 February 2016

Mai sini chek ajaq hampa goreng char kuey teow sungai dua

Hari ni chek nak habaq mai cara goreng char kuey teow yang macam kat Sungai Dua tu. Sebenarnya chek pun tak tau lagu mana depa kat Sungai Dua goreng char kuey teow. Chek makan pernah la tapi tak pernah pulak jenguk kat dapur dia......hehe. Chek saja buat gempak ja. Jangan marah no. Pada sapa yang tak tau char kuey teow Sungai Dua telur dibasuh nu ada dekat-dekat tol Lebuhraya PLUS Sungai Dua. Sapa peminat char kuey teow depa tau la. Kalau hampa tak tau jugak hampa google la, mesti jumpa punya.

Nak terbelit lidah duk becakap slang utara. Baik aku tulis bahasa standard aku je......hehe lagi senang. Esok anak sedara nak masuk sekolah berasrama penuh. Sebelum pi daftar dia minta char kuey teow paklong dia yang sungguh sedap sehingga menjilat jari. Paklong dia tu aku la. Tak pa la, anak sedara punya pasal aku pun buat la. Lagi pun aku dah lama tak makan char kuey teow. Aku pun sebenarnya nak juga. Anak-anak aku pun nak jugak. Bini aku pun nak. Adik ipar aku pun nak. Elok la buat agar semua dapat makan. Sambil masak sempat la aku snap gambar step by step. Kalau sesiapa nak cuba masak boleh la try. Aku pasal masak char kuey teow ni memang expert. Nak api naik boleh, tak nak api naik pun boleh. Tapi kalau naik api, char kuey teow yang dimasak jadi kurang sedap sikit sebab ada rasa macam terbakar. Kalau meniaga, nak tarik pelanggan kena naikkan api tinggi-tinggi bagi pelanggan nampak. Barulah terangkat.

Mula-mula goreng udang dulu. Sekejap je. Cukup sampai udang bertukar warna kemerah-merahan.


Kemudian ketepikan udang, masukkan cili kisar dalam sesudu. Tumis sampai cili masak.
Lepas tu masukkan daun kucai, tauge dan sos char kuey teow. Gaul rata.
Masukkan pula kuey teow. Guna yang halus. Kalau tak ada yang kasar pun ok. Gaul sebati.
Tambah air masak. Sikit je dalam 1/2 cawan (bukan gelas). Gaul lagi bagi sebati.
Tak perlu tunggu air menggelegak. Air suam-suam dah cukup. Pecahkan sebiji telur, masukkan dalam kuali terus kacau rata. Lepas kacau matikan api terus tuang ke pinggan agar telur tidak mengeras. Jika telur mengeras kualiti kuahnya akan terjejas. Sebab itulah tak perlu tunggu hingga air menggelegak. Jika air meggelegak telur akan cepat mengeras.

Hehe....yang ini cara aku makan. Udang tinggal last sekali untuk aku ratah. Kena jaga elok-elok, pantang lepa anak sedara aku cekau dulu.
Alhamdulillah.......selesai juga akhirnya......perghhhh :)

Kerang tak dak. Baru lepas raya cina susah nak dapat kerang. Jadi char kuey teow aku ni tak dak kerang. Kalau ada kerang lagi best. Menggoreng char kuey teow sekejap je. Paling lama 3 minit. Kalau meniaga depa goreng sepinggan char kuey teow ambil masa tak sampai seminit. Aku penah catat masa tukang masak goreng char kuey teow atas lori depan Vista Angkasa tepi LRT Stesyen Universiti kat Kerinci nu hanya ambil masa 39 saat sahaja untuk satu hidangan. Memang char kuey teow ni kena goreng satu-satu, barulah rasa dia tak lari. Kalau aku pulak, satu hidangan lebih kurang seminit.

Kesedapan char kuey teow bergantung kepada sos dia. Kalau sos dia sedap maka sedaplah char kuey teownya. Sos char kuey teow ada banyak di pasaran tapi nak cari yang betul-betul sedap susah nak jumpa. Kalau aku nak makan char kuey teow biasanya aku buat sos sendiri. Sos aku memang original resepi aku. Makan masa 3 tahun jugak aku buat trial and error barulah dapat rasa yang ngam. Tapi.....tapi buat masa ni aku tak boleh nak turunkan resepi sos tu kat sini sebab aku ada plan nak meniaga. Kalau tak ada plan nak meniaga memang aku nak kongsikan dengan pembaca blog aku ni. Masa depan tak taulah. Kot-kot aku berubah hati bolehlah aku turunkan ilmu aku tu di sini......hehe.