Wednesday 18 November 2015

Mai kongsi cara aku berhenti merokok.

Masa memandu tadi aku berhenti di persimpangan lampu isyarat. Lampu isyarat yang satu ni selang merah dengan hijaunya sangat lama. Kalau naik teksi, kena pulak masa lampu isyarat baru bertukar merah, tambang teksi boleh bertambah sebanyak RM3.00 sementara menunggu ianya hijau kembali. Aku pernah kena sekali dulu. Masa berhenti tu aku perati betul-betul meter teksi. Aku nampak, waktu berhenti tu saja meter naik sebanyak RM3.00. Punyalah lama. Kenaikan RM3.00 sebenarnya adalah sama dengan masa lebih kurang 7 minit. Cara kiranya macam ni;

Teksi berhenti untuk 36 saat tambang dicharge adalah RM0.25
RM3.00 / RM0.25 = 12
12 X 36 saat = 432 saat
432 saat / 60 saat = 7.2 minit

Tu dia nampak dak. Sekali berhenti lebih kurang 7 minit. Sampai ke situ sekali aku kira kan. Aku ingat tak dak orang lain yang duk kira sampai macam tu sekali. Drebar teksi seronok la. Lagi lama kat lampu merah lagi la masyuk. Kalau jadi penumpang duk belakang, keluh kesah tak senang duduk.......hehe!

Tapi aku sebenarnya bukan nak cerita pasal lampu isyarat atau tambang teksi. Masa aku sampai kat lampu isyarat tu tadi, ngam-ngam lampu bertukar ke merah. Aku berhentilah, kereta paling depanlah kiranya. Ada tiga lorong. Aku lorong kanan sekali sebab nanti aku nak membelok ke kanan. Tengah mengelamun sorang-sorang ada la sorang pakcik naik motor berenti depan kereta aku. Aku tengok dia seluk poket keluarkan rokok dan lighter. Nyalakan rokok terus dia sedut dalam-dalam. Sempat lagi berasap pakcik ni. Hisap rokok biasalah. Yang aku tak boleh tahan geli hati tu bila aku tengok muka pakcik tu melalui cermin sisi motor dia. Memang ngam-ngam cermin tu halakan muka dia ke pandangan mata aku. Aku tengok pakcik tu sedut rokok dia sampai senget-senget mulut dia. Punyalah sungguh-sungguh dia menikmati keenakan asap rokok dia tu. Bukan sekali. Tapi berkali-kali macam tu. Tiap kali dia sedut asap rokok mesti mulut dia senget-senget. Agaknya nikmat sangat kot. Dahsyat betul nikmat merokok ni kan. Tengah panas pun nikmatnya ada lagi. Kalau hujan-hujan lagilah nikmat kot.

Aku ni bukan apa. Dulu-dulu dalam sepuluh tahun lepas aku pun perokok tegar.....hehe. Aku tahu nikmat merokok ni. Dia punya gian memang power. Aku dulu merokok 2 kotak sehari. Sekotak 20 batang. Maknanya aku menghisap rokok sebanyak 40 batang sehari. Tapi kan, segian-gian macam mana pun merokok ni tetap dikira membazir. Benda yang tidak berfaedah. Sepatutnya kerajaan haramkan sahaja rokok sebab ianya tidak membawa banyak faedah. Faedah hanya kepada penanam tembakau. Kepada pengguna tembakau banyak mudharatnya. Perokok memang menentang kalau rokok diharamkan di negara kita sebabnya orang gian mana kira mudharat ke tidak. Aku fikir kalau kerajaan naikkan cukai banyak mana pun, jumlah perokok tidak akan berkurangan. Inilah akibatnya bila rokok dijadikan bahan yang dicukai. Kalau terus diharamkan maka tak dapatlah cukai, kuranglah hasil kerajaan. Sepatutnya cukai judi, arak, minuman keras dan tembakau tidak perlu dijadikan punca hasil pendapatan negara. Maknanya kemungkinan kerajaan nak mengharamkan rokok memang tak ada sebab ianya merupakan sumber pendapatan kerajaan. Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana harga petroleum merudum di bawah paras USD50 setong. Petroleum merupakan sumber pendapatan utama negara. Bila petroleum menyumbangkan hasil pendapatan yang berkurangan, pergantungan kepada sumber pendapatan lain meningkat. Ini termasuklah cukai tembakau. 

Hai panjang betul aku melalut hari ini. Sekali-sekala ulas isu semasa apa salahnya kan. Pada masa ini, ketidakpuasan hati rakyat marhaen kedengaran di mana-mana. Kita sekarang tak boleh nak harapkan apa-apa dari pemimpin. Dia orang sibuk mencari fulus. Bukan sibuk bekerja untuk rakyat yang diwakili. Sekarang ni memang betul-betul terbalik kot. Sepatutnya pemimpin ikut cakap rakyat sebab rakyat yang melantik mereka melalui undi pilihanraya. Dengar keluhan rakyat. Laksanakan apa yang rakyat mahukan. Apa yang berlaku kini ialah rakyat pulak kena ikut cakap wakil rakyat. Wakit rakyat jadi bos instead of jadi hamba rakyat. Dia orang bangga buat apa yang rakyat tak suka. Dah tu pulak paksa rakyat terima apa yang dia orang buat. Ciss......permainan apakah ini. Apakah anda perasan apa yang aku rasakan ini?

Hehe......sekadar luahan hati. Apa yang aku nak ceritakan sebenarnya ialah pasal berhenti merokok. Aku dulu perokok tegar. Untuk kawan-kawan dan sahabat-sahabat di luar sana yang masih lagi merokok, jika anda mampu berhentilah merokok. Banyak faedahnya. Jika duit beli rokok anda simpan, dalam sebulan anda mungkin boleh berjimat sehingga RM300. Jika anda sedekahkan sebanyak RM300 sebulan anda tahu tak apa ganjaran yang anda dapat? Aku pun tak tahu sebenarnya sebab Allah swt memang tak sebut ganjarannnya. Kalau diberitahu ganjarannya pasti semua manusia yang beriman akan menyedekahkan harta mereka sehingga barangkali tidak ada apa yang tinggal untuk kegunaan mereka sendiri. Mari kita lihat ganjaran bersedekah melalui firman Allah swt dalam ayat berikut;

Allah Ta’ala berfirman,

وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 280)

Perhatikan potongan ayat ini "Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Sedekah itu adalah amat bernilai ganjarannya jika kita mengetahui. Malangnya kita tidak mengetahui ganjaran yang Allah swt janjikan tersebut. Ianya kekal rahsia Allah swt. Ianya pastilah ganjaran yang sangat bernilai sebab itulah ada ungkapan "jika kamu mengetahui'.

Kisah aku, dulu aku perokok tegar. Nak jadikan cerita dan mungkin juga rezeki aku. Satu hari aku kena demam selsema yang teruk. Dada penuh kahak. Tekak sakit dan gatal. Hidung tersumbat. Tapi nafsu merokok tetap ada. Malangnya bila menyedut asap rokok, kerongkong tak boleh terima. Dada juga terasa sesak. Baru sekali sedut terus terbatuk-batuk. Tak boleh nak teruskan sedutan kedua, ketiga dan seterusnya. Lepas sekali sedut terus buang. Selepas 2-3 jam cuba hisap rokok lagi. Sama jugak. Tak mampu nak sedut asap rokok. Dada rasa nak pecah. Terpaksalah aku berhenti merokok masa demam tu. Tiga hari aku demam. Hari ke empat demam dah kebah. Aku ingat nak merokok semulalah. Badan dah sihat ni. Sedap melepaskan gian. Tapi bila aku pegang puntung rokok untuk dinyalakan aku terfikir dah tiga hari aku berhenti merokok. Kenapa aku boleh berhenti dalam masa tiga hari yang aku demam tu. Kalau waktu demam aku boleh buat kenapa waktu sihat aku tak boleh buat. Akhirnya aku buat keputusan. Baiklah aku berhenti merokok. Aku dah berhenti selama tiga hari, aku akan teruskan berhenti selamanya. Aku ambil semua rokok aku. Aku renyuk-renyukkan kemudian aku buang dalam tong sampah. Alhamdulillah, kisah tersebut telah sepuluh tahun berlalu. Aku kini bukan lagi seorang perokok. Aku kini bebas rokok sepenuhnya. Apa yang aku nak sampaikan ialah, kalau nak berhenti merokok semuanya ada dalam kawalan minda kita. Kalau minda kita kata boleh maka bolehlah ia. Jika minda kata tak boleh maka tak bolehlah ia. Minda kita, kita sendiri yang kawal. Jadi, kenapa tak boleh. Bukankah ia di bawah kawalan kita sendiri?

2 comments:

  1. Tahniah. Dalam usaha yang sama.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Saya doakan semoga saudara berjaya dan dipermudahkan Allah swt.

      Delete