Friday 9 October 2015

Nostalgia membesar di kampung - Part 1

Dulu waktu aku budak-budak, aku selalu berkubang dalam parit. Parit kalau kat kampung aku bukannya parit macam kat bandar sekarang ni. Parit kat kampung aku dulu-dulu sangat bersih. Orang buat mandi manda dan membasuh pakaian. Air parit ni digunakan untuk mengairi sawah padi. Kalau sebut tali air mungkin baru orang bandar faham. Kalau di kampung aku dulu tali air tu kami panggil parit. Bila musim menuai, air parit ni beransur-ansur kering jadi banyaklah aktiviti menggagau ikan. Dulu dulu nak makan ikan boleh cari sendiri. Tak payah beli. Nak menggagau, menjala, memukat, memancing, menimba, menangkul, mengelau, menaut semuanya boleh. Paling aku suka bila waktu menimba. Bila tiba musim tali air kering, banyak ikan mencari kawasan yang lebih dalam. Biasanya ikan-ikan ini akan masuk ke telaga yang bersambung dengan parit. Kesempatan ini akan ambil oleh tuan tanah untuk menimba telaganya. Air dalam telaga tersebut akan ditimba keluar sikit-sikit hingga akhirnya telaga tersebut kering. Masa inilah rasa betul-betul seronok bila nampak bermacam jenis ikan terkodek-kodek dalam lopak air. Aku kalau tengok orang menimba telaga, masa nampak ikan terkodek-kodek rasa macam nak melompat turun tangkap ikan-ikan tu. 

Aku sebenarnya baru balik kampung dua tiga minggu lepas. Itulah aku teringat pasal kisah zaman kanak-kanak aku di kampung dulu. Kampung aku ni dah lama aku tinggalkan. Umur aku 13 tahun aku dah melangkah keluar dari kampung. Dari umur 13 tahun sampailah sekarang kekerapan aku balik kampung boleh dikira dengan jari. Mana taknya, adik beradik semuanya merantau. Mak dan ayah aku pulak dah meninggal masa umur aku 9 dan 10 tahun. Kalau aku balik kampung, aku tak tahu ke mana nak nak dituju.

Zaman kanak-kanak adalah zaman nostalgia bagi semua orang. Bagi mereka yang membesar di kampung, zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling indah sekali. Kenangannya tak mungkin dilupakan. Apatah lagi sekarang ini kampung dah tak macam dulu. Kenangan dulu hanya berlaku sekali sahaja. Tak mungkin akan berulang lagi. Nyata, masa lalu (usia) sangat jauh menghindar sedangkan yang semakin mendekati kita adalah kematian. Zaman kanak-kanak kita tak perlu memikir masalah hidup. Tiap-tiap kali bangun pagi fikir hari ni nak main apa. Budak lelaki kerjanya melastik burung. Kadang-kadang batu yang dijadikan peluru lastik singgah atas bumbung rumah orang. Kalau aku pulak bila tiba musim air sawah kering aku akan mengendap dalam rumpunan sawah padi cari lopak-lopak ikan. Musim kering biasanya ikan akan berkumpul di kawasan lopak yang ada sedikit air. Kalau terjumpa lopak macam ni seronok sungguh. Ada ikan keli, haruan sepat dan puyu. Kadang-kadang ular air pun ada.

Kalau bosan cari ikan boleh panjat pokok mempelam. Musim kering kalau datang sama dengan musim mempelam berbuah memang seronok. Panjat pokok mempelam boleh capai saja mana-mana buah yang masak sekeliling kita. Cari buah yang paling masak ranum. Ambil dari tangkainya terus makan je dengan kulit-kulitnya sekali. Sambil makan mempelam sambil bersandar di dahan pokok. Siap menyanyi-nyani lagi. Dari atas pokok boleh nampak pemandangan sawah padi yang menguning menandakan padi sedang masak. Ada petak-petak sawah yang sedang dituai oleh sekumpulan makcik. Dulu tuai padi guna tangan. Dipanggil mengerat. Satu rumpun sekali kerat. Kerat 3-4 rumpun padi kemudian letakkan pada satu tempat yang mengandungi 20-30 rumpun padi yang kemudiannya akan diambil oleh pakcik-pakcik yang akan meleraikan padi dari tangkainya melalui proses "memukul". Padi ini akan dihempaskan didalam tong kayu yang ada layar di tepinya supaya padi yang dihempas tidak terkeluar dari tong tersebut.

Macam inilah gayanya orang dulu meleraikan padi dari tangkainya. Dipanggil "memukul". Ini nostalgia zaman silam. Sekarang tak akan jumpa lagi macam ni kecuali di muzium.  Gambar ini saya ambil dari google. Bukan hak milik saya.

Kedamaian kampung dengan sawah yang menguning. Gambar hiasan dari google.

Musim menuai kalau tak main layang-layang memang tak sah. Sebelah petang selalunya angin cukup kuat. Layang-layang buat sendiri. Cari pokok buluh tua. Tebang sebatang. Belah dan raut secukup rasa untuk buat tulang layang-layang. Kena timbang dulu. Bukan timbang pakai alat timbang. Timbang dengan benang je supaya bahagian kiri dan kanan buluh yang nak dijadikan sayap sama berat. Kalau tak sama berat nanti layang-layang terbang mereng sebelah. Kalau nasib tak baik langsung tak boleh terbang. Buat layang-layang pun ada kemahirannya yang perlu dipelajari. Begitulah juga dalam kehidupan kita. Nak sesuatu kena usaha. Kepandaian datang dari pengalaman dan ilmu yang dituntut. Dah pandai kena pulak praktiskan supaya ilmu tersebut tidak hilang oleh sifat lupa kita. Oleh kerana hari ini hari jumaat, terasa masanya suntuk sekali. Celoteh aku berhenti setakat ini dulu. Ada masa aku sambung lagi cerita dalam part II insya Allah.

No comments:

Post a Comment