Friday 11 September 2015

Daging Masak Kicap Lada Hitam

Seminggu dua ni aku teringin nak makan daging masak kicap dengan nasi beras basmati. Masakan daging kalau nak sedap kena kawankan dia dengan nasi beras basmati. Jika gu kan dengan nasi beras biasa kenakannya kurang terserlah. Ini dari rasa lidah akulah, kalau lidah orang lain aku tak pasti pulak. Hari ini aku cuti jadi dapatlah aku merealisasikan impian ku. Sebelum pergi pasar aku jenguk dulu periuk nasi ada isi ke tidak. Memang cantik sangat sebab periuk kosong. Rancangan aku lepas balik dari pasar bolehlah aku tanak beras basmati. Berasnya belum ada lagi, baru nak keluar pergi beli bersama dengan daging dan bahan-bahan untuk masak kicap sekali.

Barang dapur sekarang ni mahal berbanding dengan sebulan dua yang lalu. Aku beli daging sejuk beku je nombor 63. Yang ni lebih kurang no 61 dan 62 cuma no 63 ni lembut sikit tapi taklah selembut "loin" atau kita sebut batang pinang. Daging mahal sekarang ni. Berbanding bulan lepas dah lebih kurang seringgit naiknya. Sebabnya daging import ni dibayar dengan USD. Kita kena bayar lebih untuk mendapatkan barangan yang sama disebabkan Ringgit yang melemah berbanding USD. Nampaknya kenaikan harga barang tak akan berhenti selagi Ringgit tidak mengukuh berbanding USD. Nampaknya kita rakyat biasalah yang menanggung banyak kesan buruk disebabkan penurunan nilai matawang Ringgit.

Aku beli daging tak sampai 1kg. Beras basmati pun aku beli. Konon balik nanti terus tanak la. Bila sampai kat rumah aku tengok nasi dah ditanak. Adik ipar aku balik rehat rupanya. Dia tanak beras biasa. Potong stim betullah. Terpaksalah aku guna skill aku masak nasi dengan dapur gas. Nasi yang adik ipar aku tanak tu esok boleh buat nasi goreng. Nasib baiklah aku ni serba boleh. Tak ada rotan, akar pun berguna juga. Dulu aku pun was-was juga nak masak nasi guna dapur gas. Tapi lama kelamaan dah jadi expert. Malah kalau tetamu datang tanpa diduga dan kita pula nak menjamu mereka makan nasi, kalau nak cepat, skill masak nasi guna dapur gas ni bolehlah di applykan. 

Kalau nak tunggu periuk nasi elektrik masak nasi tentulah ambil masa sikit. Cara masak nasi guna dapur gas ni senang je. Mula-mula basuh beras macam biasa lepas tu sukatlah air macam biasa juga. Sukatan air biasa tu ialah banyak air lebih kurang sama dengan banyak beras. Contohnya tinggi beras dalam periuk dari dasarnya ialah 2 inci maka air yang kita nak tambah ialah 2 inci juga tingginya. Dua inci air ini diukur bukan dari dasar periuk tapi dari atas permukaan beras hingga ke permukaan air. Untuk beras biasa kurangkan sikit kuantiti air tapi kalau beras basmati lebihkan sikit kuantiti air. Ini adalah kerana beras biasa banyak kanji sedangkan beras basmati kurang kanji.

Bila dah siap basuh anda letaklah periuk atas dapur gas dan hidupkan api. Kacau selalu supaya beras tak melekat di dasar periuk. Bila air semakin mengering, perlahankan sikit api supaya nasi tak melekat kat periuk sambil tu teruskan kacau. Bila air dah nampak betul-betul mengering, perlahankan api seminimum yang boleh kemudian tutup periuk. Biasa aku letakkan lesung batu atas tudung periuk tu supaya wap panas tak lepas keluar dari periuk. Lima minit lepas tu bolehlah padamkan api. Nasi pun dah masak. Bolehlah terus dihidang.

Tu dia, asalnya aku hanya nak tulis pasal daging masak kicap tapi dah melalut ke masak nasi pulak dah. Panjang betul intronya. Eloklah aku terus ke tujuan asal daripada melencong lebih jauh. Kalau anda masak daging masak kicap ini, harum bau masakannya semerbak satu rumah. Malahan sampai ke luar rumah pun boleh cium baunya. Naik selera makan orang yang mencium bau masakan ini. Aku pernah sekali masak dulu. Mak mertua aku balik dari mengaji. Dari simpang nak masuk rumah aku lagi dia dah tercium bau harum. Sampai rumah tengok-tengok menantu dia yang masak. Lagi satu aku nak bagi tahu, resepi ini bukanlah resepi aku sendiri. Aku ambil resepi ini dari internet. Kena pulak dengan selera aku. Nak bagi kredit kat tuan punya resepi asal aku dah lupa dari mana aku ambil sebab dah 3-4 tahun aku amalkan resepi ini. Maksudnya dah 3-4 tahun berlalu semenjak kali pertama aku cuba resepi ini. Resepi ini aku tokok tambah sikit ikut selera aku. Jom la tengok resepinya di bawah ni;

Daging Masak Kicap Lada Hitam 
















Bahan-bahan
500 gram daging
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
6 biji buah pelaga
3 ulas bawang putih*
5 bji bawang merah*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
1 batang serai*
3 sudu makan cili boh atau cili kisar
2 sudu makan kicap pekat
2 sudu makan kicap masin
1 sudu makan kerisik
1 sudu makan lada hitam yang ditumbuk kasar
2 biji kentang potong ikut suka
1 biji bawang besar potong gelang
4 sudu minyak masak untuk menumis
2 sudu kecil serbuk cukup rasa Maggi
gula dan garam secukup rasa
sedikit daun ketumbar untuk hiasan

Cara
Daging potong slice kemudian basuh dan toskan. Kisar semua bahan yang bertanda * kemudian ambil separuh bahan kisar, 1 sudu makan kicap pekat dan separuh daripada 1 sudu makan lada hitam yang ditumbuk kasar tadi untuk digaulkan dengan daging. Perap selama 1 jam atau 30 minit.

Setelah siap diperap, panaskan minyak, tumis rempah empat sekawan (kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan cengkih). Kemudian masukkan pula baki bahan kisar tadi. Bila dah naik bau masukkan cili boh. Tumis lama sikit hingga pecah minyak.

Setelah itu masukkan daging. Gaul rata dan biarkan sehingga daging berair dan nampak mengeras (lebih kurang 5 minit). Setelah itu tambahlah air semangkuk dua dan masaklah sehingga daging empuk.

Bila daging dah empuk masukkan baki 1 sudu kicap pekat,  baki setengah sudu makan lada hitam yang ditumbuk kasar, kicap masin dan kerisik, Gaul rata. Masukkan kentang. Gaul lagi bagi rata kesemuanya. Jika nak warna lebih gelap boleh tambahkan kicap pekat. Tambah air jika masakan agak kering.

Bila kentang dah agak lembut, perasakan dengan garam, gula dan serbuk cukup rasa Maggi. Last masukkan bawang besar yang dipotong gelang dan gaul rata. Matikan api setelah anda dapat kepekatan kuah yang anda kehendaki.

Taburkan daun ketumbar sebagai hiasan semasa dihidang.

No comments:

Post a Comment