Tuesday 9 June 2015

Resepi Paprik Ala Restoran Tomyam

Hari ini aku terjumpa dengan seorang mamat asal selatan Siam yang kerja sebagai tukang masak di warung tomyam. Biasa la, aku kalau berjumpa dengan tukang masak tomyam tanpa berlengah lagi akan tanya resepi. Kali ini aku tanya resepi lauk paprik. Banyak sebenarnya yang aku nak tanya tapi biarlah aku tanya satu-satu dulu. Kalau tanya banyak-banyak pun bukannya aku boleh ingat. Orang tua macam tu lah, ingatan makin lemah seiring dengan peningkatan usia. Apa lagi macam aku ni yang suka makan kari kepala ikan. Kata orang makan kari kepala ikan boleh melemahkan daya ingatan. Wallahu A'lam.

Resepi ini aku belum cuba lagi. Aku cepat-cepat masukkan dalam blog ini supaya tak lupa. Boleh buat rujukan di masa depan. Ada masa nanti aku akan cuba tapi biasanya kalau resepi tukang masak yang beri memang resepi tersebut adalah sahih. Macam resepi sup ekor dan tulang ala restoran tomyam dalam entri aku terdahulu kat sini  http://pipsterian.blogspot.com/2015/03/sup-ekor-dan-sup-tulang-kedai-tomyam_31.html, memang sedap dan sama macam yang biasa kita makan kat warung tomyam. Kali ini aku hanya masukkan bahan-bahan dan kuantitinya sekali. Bila dah cuba nanti aku akan buat entri susulan disertai dengan gambar hasil masakannya sekali. Kepada sesiapa yang nak cuba silakan. Mudah-mudahan ianya memberi manfaat kepada kita semua.

Resepi Lauk Paprik Ala Warung Tomyam

Bahan-bahan (untuk satu hidangan)
Sedikit isi ayam atau udang atau sotong atau daging atau kesemuanya sekali 
(Kalau ada daging elok la rebus dulu bagi empuk - rebus berasingan)
Sedikit kacang panjang
Sedikit bunga kubis
Sedikit kacang pea 
Sedikit jagung muda
3 tangkai cili api diketuk
1/4 biji bawang holland hiris kasar menegak
2 ulas bawang putih diketuk
1 helai daun limau purut dicarik
1 sudu kecil sos tiram
2 sudu kecil sos cili
1 sudu kecil cili boh
1 sudu kecil sambal belacan (kena buat sambal belacan dululah)
1 sudu kecil gula
1 sudu kecil serbuk perasa
1/2 sudu kecil garam
Sedikit air (lebih kurang 1/2 senduk)
Minyak masak untuk menggoreng.

Cara

Panaskan minyak masak. Goreng isi ayam, udang, sotong dan daging. Bila dah masak perlahankan api dan tolak ketepi lauk kemudian kaut dan asingkan minyak panas tersebut ke dalam bekas lain. Tinggalkan hanya minyak panas yang tak boleh dikaut sahaja.

Normalkan api semula kemudian masukkan bawang putih, bawang holland. Gaul rata. Masukkan pula cili boh. Agak-agak cili boh dah masak masukkan daun limau purut dan segala bagai sayur yang telah dipotong termasuklah cili api. Gaul rata.

Masukkan sos tiram, sos cili, dan sambal belacan. Tambah air, gaul rata.

Tambah gula, garam dan serbuk perasa.

Perasakan dulu, agak-agak rasa dah ngam matikan api. Sedia untuk dihidang.

p/s - proses masak lauk paprik ni sekejap je. Tak sampai 10 minit dah siap.

No comments:

Post a Comment