Wednesday 29 April 2015

Mempelam @ Mangga unik yang pasti ramai tak pernah tengok (Part 3).

Cerita ini adalah bahagian akhir dan merupakan sambungan daripada bahagian 1 di sini http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/mempelam-mangga-unik-yang-pasti-ramai.html dan bahagian 2 di sini http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/mempelam-mangga-unik-yang-pasti-ramai_26.html.

Makin lama aku tunggu makin jelas suara yang aku dengar tadi. Ini bukan suara hantu. Sah memang suara manusia dan aku cam serta kenal ianya suara milik siapa. Suara yang aku dengar tu adalah suara dua orang yang sedang bersembang. Tidaklah kuat tetapi cukup untuk aku mendengar buah butir yang mereka tuturkan. Aku tak jadi turun. Kalau aku turun dari pokok mangga tentulah dua orang yang berada di bawah pokok tahu yang aku dah buat kerja tak senonoh kebas buah mangga kelipisan Pakcik Johari. Suara yang aku dengar itulah suara milik jiran depan dan sebelah rumah Pakcik Johari. Rupa-rupanya dia orang berdua ni pun buat kerja mengebas mangga Pakcik Johari. Elok la aku tak sebutkan nama dia orang di sini. Aku agak dua-duanya masih hidup lagi. Aku agak je sebab aku dah berpuluh tahun tak balik kampung dan tak tahu apa cerita terkini pasal kampung.

Aku selalu nampak anak-anak pakcik dua  orang ni makan mangga kelipisan tanpa perlu berebut-rebut bila buah mangga jatuh macam aku dan kawan-kawan aku duk selalu berebut tu. Rupa-rupanya pak dia orang malam-malam ada projek baik punya. Aku ingat aku seorang je kaki rembat rupanya aku pun macam PM Najib, aku tidak keseorangan.  Tapi aku rasa mungkin aku lepas dari dosa merembat sebab masa tu belum akil baligh. Kira belum dihitung amal perbuatannya. Berbanding dengan jiran Pakcik Johari yang berdua tu, umur dia orang masa tu barangkali lewat 30an atau awal 40an.

Lama juga aku kena menunggu pakcik berdua tu selesaikan projek dia orang. Aku rasa adalah dalam 30 ke 40 minit. Lenguh lutut dan lengan aku berdiri dan berpaut pada batang pokok. Aku dapat dengar buah butir percakapan mereka tapi malangnya tak dapatlah aku nak ceritakan semula sebab aku dah lupa. Maklumlah cerita ni berlaku lebih kurang 36 tahun lalu. Aku hanya turun bila suara pakcik berdua tu dah tak kedengaran. Bila aku pasti dia orang dah balik barulah aku turun. Tak jadilah aku nak teruskan merembat buah mangga kelipisan yang menggiurkan itu. Malam pun dah larut sebenarnya. Kampung aku masa tu kalau waktu malam memang gelap sangat. Bekalan elektrik masih baru lagi. Ada rumah yang dah ada bekalan elektrik tapi masih banyak yang tiada. Hanya budak-budak yang hati kering macam aku je yang berani keluar malam. Yang pastinya malam itu aku balik dengan hati yang kecewa kerana hasil rompakan aku tak memuaskan.......haha.