Tuesday 31 March 2015

Sup ekor dan sup tulang restoran tomyam

Dalam entri terdahulu kat sini http://pipsterian.blogspot.com/2015/03/sup-ekor-dan-sup-tulang-kedai-tomyam.html aku cerita pasal sup ekor/sup tulang yang rasanya macam kat kedai tomyam. Alhamdulillah aku pun dah cuba dan rasanya memang sebiji macam yang kat restoran tomyam. Kali ini aku nak kongsikan resepi dengan kuantiti bahannya sekali. Sesiapa yang nak cuba resepi ini dengan sukacitanya dipersilakan.

Sup Ekor / Sup Tulang ala Restoran Tomyam
















Bahan Rebusan
1 kilo tulang/ekor dibasuh bersih
halia sebesar ibu jari
1/2 biji bawang holland potong kasar
4 ulas bawang putih diketuk
air secukupnya 

Satukan semua bahan di atas dalam periuk dan rebus tulang/ekor hingga dagingnya empuk. Bila dah empuk, keluarkan semua tulang/ekor dan air rebusan jangan dibuang. Bahan yang dinyatakan di atas tadi adalah untuk 1 kg tulang/ekor. Kalau di kedai tomyam beginilah cara mereka sediakan tulang/ekor serta air rebusan yang kemudiannya tulang/ekor apabila dah sejuk akan disimpan di dalam peti ais. Air rebusan pula akan dididihkan semula setiap kali kedai nak tutup untuk mengelakkan ia basi. Apabila ada pesanan dari pelanggan, mereka akan masak kemudianya satu persatu dengan mengambil 3-4 ketul tulang/ekor beserta dengan air rebusan tadi. Jadi, untuk dapatkan rasa sup yang sama macam yang kat kedai tomyam kita pun kena ikut cara mereka.

Bahan tumis (untuk semangkuk sup @ 1 hidangan)
1/4 biji bawang holland potong kasar
2 ulas bawang putih diketuk
2 inci celery potong ikut suka
1/2 biji tomato potong jadi 3 bahagian
5 tangkai cili api (tambah jika nak lebih pedas)
1 sudu teh serbuk sup
2 1/2 sudu teh gula
2 1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh serbuk perasa
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan minyak masak
3-4 ketul tulang/ekor yang telah direbus tadi
3/4 (tiga suku) mangkuk air rebusan
air perahan dari 1/3 biji limau nipis atau 1 biji limau kasturi. Adjust ikut kemasaman yang anda suka
bawang goreng dan daun sup untuk hiasan

Cara
Panaskan minyak dalam kuali (Tak perlu tunggu hingga panas sangat). Masukkan bawang putih. Kacau seketika kemudian masukkan bawang holland diikuti oleh cili api.
Masukkan celery dan tomato. Kacau rata kemudian masukkan air rebusan dan tulang/ekor. Masukkan serbuk sup. Kacau lagi. Biar menggelegak.
Masukkan gula, garam, sos tiram dan serbuk perasa. Gaul rata kemudian masukkan perahan limau.
Rasa dulu dan boleh tambah apa yang kurang ikut selera anda kemudian matikan api.
Tuang dalam mangkuk dan tabur dengan hirisan daun sup serta bawang goreng.

*Untuk makluman, sudu teh yang yang saya maksudkan ialah sudu teh yang sebesar sudu kecil warna putih yang kita dapat bila makan coleslow dan kentang putar kat KFC. Sudu teh yang biasa kita guna kat rumah tu agak besar. Kalau anda guna sudu teh yang biasa kita guna kat rumah tu sila kurangkan sedikit kuantiti bahan yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment