Monday 19 January 2015

Mempelam @ Mangga unik yang pasti ramai tak pernah tengok (Part 1)

Aku pasti ramai tak pernah tengok atau dengar nama sejenis mangga atau mempelam yang satu ni. Nama dia ialah mangga kasturi atau nama saintifiknya Mangifera Casturi. Seumur hidup aku, mangga jenis ni hanya aku pernah jumpa masa aku masih bersekolah rendah dan masih belum akil baligh lagi. Mangga ini sangat sedap. Yang uniknya ialah bila ia matang atau masak buahnya bertukar menjadi warna ungu, bukan seperti mangga lain yang jika masak warnanya bertukar menjadi kuning. Aku ada banyak kenangan yang berkaitan dengan mangga ini dan aku tak pernah cerita kepada sesiapa pun sehinggalah hari ini aku rasa nak menulis di sini. Oleh kerana kenangannya banyak jadi aku letakkan kisah yang aku ceritakan hari ini dalam part 1. Kemudian nanti aku akan sambung kepada part seterusnya.

Inilah rupa buah Mangga Kasturi. Gambar ini aku google.


Dulu di kampung aku nun di daerah Krian, Perak, ada sorang pakcik namanya Pakcik Johari. Kampung aku ni kawasan sawah padi jadi banyaklah taliair untuk mengairi sawah. Di samping mengairi sawah, taliair ini juga berfungsi sebagai tempat mandi manda dan membasuh kain baju. Masa tu bekalan air paip memang dah ada cuma bukan semua orang yang mampu. Kalau yang ada air paip pun, ramai yang memilih mandi di taliair. Air free tak payah bayar. Jernih pulak tu cuma bila aku dan kawan-kawan aku berkubang di hilir, orang tua-tua yang mandi di kuala hambat kami dengan kayu sebab air yang mengalir ke arah mereka jadi macam air susu, berkeladak dikerjakan oleh kami budak-budak kampung yang berkubang tak ingat dunia. Berbalik kepada Pakcik Johari tadi, kat depan rumah dia ada empat pokok mangga kasturi. Kami di kampung panggil mangga ni sebagai "mempelam kelipisan". Pokok mempelam kelipisan ni ditanam di atas ban. Ban ialah tanah yang sedikit tinggi di tebing taliair. Tanah ban ini ialah tanah dari taliair yang dikorek. Bila buah mempelam ni masak, banyak yang akan jatuh ke dalam taliair. Bila musim buah mempelam kelipisan ni masak, kami budak-budak kampung semua standby bawah pokok tunggu buahnya jatuh sendiri. Pokok mempelam kelipisan ini sungguh besar. Kalau dikait, dapat yang bahagian rendah sahaja. Kebanyakan buahnya ada di bahagian pokok yang tinggi.

Inilah pokok "mempelam kelipisan". Yang kat kampung aku tu besar macam nilah. Macam mana nak kait? Kena cari galah yang betul-betul panjang. Gambar ni aku google. Bukan gambar pokok mempelam kelipisan yang kat kampung aku tu.


Yang seronoknya, bila buah yang masak jatuh ke dalam taliair, kami semua pakat terjun ke tempat buah tu jatuh. Kalau ada 10 orang duk tunggu, sepuluh-sepuluh orang pun terjun sekali. Lepas tu masing-masing menyelam dan menggagau dengan tangan cari buah mempelam yang jatuh tadi. Nasiblah sapa yang dapat. Kalau yang nakal sikit tu, bila dia dah dapat, dia buat diam je. Budak-budak lain bertungkus lumus cari kerana dia orang ingat buah yang jatuh tadi masih belum dijumpai. Tu lah kerja kami lepas habis sekolah. Pakcik Johari pun tak boleh buat apa. Bayangkanlah sedap-tak sedapnya buah ni, sampai berebut nak mendapatkannya. Padahal, pokok mangga jenis lain bukan tak ada. Di ban taliair kat depan rumah dan belakang rumah kita orang, masing-masing ada tanam pokok mempelam. Kat rumah aku ada banyak pokok mempelam. Jenis yang besar kami panggil mangga siam ada dua tiga pokok. Pokok mempelam telur toksah kira la, punya la banyak.

Inilah rupa memepelam kelipisan yang lebih realistik. Sama macam yang kami budak-budak kampung duk berebut dulu.
























Aku pasti mangga jenis ni memang susah nak jumpa di negara kita pada masa ini. Sekarang ni baru aku tahu rupanya pokok mempelam kelipisan ini adalah spesies yang banyak terdapat di Kalimantan terutamanya Kalimantan Selatan. Patutlah pokok ini ada ditanam di kampung aku sebab kampung aku ramai orang Banjar. Malahan aku pun leluhur dari suku Banjar jugak cuma aku dah lupa cakap Banjar. Dulu aku budak-budak, aku memang terer berbahasa Banjar, bahasa baku lagi tu....haha. Orang Banjar berasal dari Banjarmasin Kaimantan. Barangkali dia oranglah yang bawa benihnya dan ditanam di kampung aku.

Bersambung di Part ll.

*Semua gambar dalam entry ini bukanlah milik aku. Ianya adalah hasil carian google. Hakmilik gambar tersebut adalah kepunyaan mereka yang berkenaan.

No comments:

Post a Comment