Wednesday 21 January 2015

Dua bulan anak yatim piatu ponteng sekolah (part 1)

Anak yatim piatu itu akulah. Masa darjah empat. Umur 10 tahun. Aku ingat lagi, aku pernah ponteng sekolah selama dua bulan berturut-turut. Mula-mula tak la berturut-turut. Sehari datang sehari tidak. Lepas tu sehari datang sekolah, dua hari tidak. Lama kelamaan terus tak datang dah sampai la dua bulan lamanya. Tuan-tuan dan puan-puan tahu tak kenapa aku ponteng sekolah? Sebenarnya ada sebabnya. Sebabnya pulak berkaitan dengan cikgu. Pada aku, ramai guru yang baik cuma sedikit sahaja yang tidak. Dari pengalaman aku, cikgu memainkan peranan penting dalam meyemaikan sifat suka hadir ke sekolah kepada murid-murid. Ramai cikgu-cikgu di negara kita amat cemerlang dalam mendidik anak bangsa. Bukan perkara ganjil bila cikgu keluarkan duit sendiri membeli alatan bantuan mengajar semata-mata mahukan anak murid mereka menjadi orang yang berguna di masa depan. Itulah contoh pengorbanan guru yang ibu bapa kadang-kadang tak tahu.

Kisah aku ponteng sekolah asalnya bermula begini. Suatu hari ketika aku dalam darjah empat, aku kena sakit gigi yang aku rasa berdenyut-denyut. Sakit sangat rasanya. Masa tu aku di sekolah. Lebih kurang pukul 9 pagi macam tu. Dalam kelas Bahasa Inggeris. Cikgu perempuan mengajar Bahasa Inggeris ni baru 3-4 bulan bertukar ke sekolah tempat aku belajar tu. Cikgu berasal dari kawasan bandar agaknya. Namanya aku ingat tapi tak payah la aku sebutkan di sini. Oleh kerana aku tengah sakit gigi yang amat sangat, aku tak dapat menumpukan perhatian kepada apa yang cikgu ajarkan di depan kelas. Apa yang aku buat ialah aku dongakkan kepala melihat siling. Dengan berbuat begitu aku rasa sakit gigi aku berkurangan sedikit. 

Rupanya tingkah laku aku diperhatikan oleh cikgu yang sedang mengajar. Perlahan-lahan cikgu ni mula berjalan pusing satu kelas. Bermula dari baris kanan sampai ke belakang kelas kemudian dari belakang masuk pulak baris kiri iaitu baris yang aku duduk. Sampai je dekat aku cikgu ni terus pulas telinga aku sambil marah-marah kerana aku tak bagi tumpuan semasa beliau mengajar tanpa beliau bertanya kenapa aku berkelakuan begitu. Aku tak diberi peluang membela diri. Kawan-kawan aku yang lain apa lagi semuanya gelak berdekah-dekah. Aku punya la bengang. Sakit gigi tak habis lagi tambah pulak dengan sakit telinga kena pulas. Sakit hati kena gelak tak kira lagi. Lepas tamat kelas Bahasa Inggeris tu kebetulan waktu rehat. Jenuhlah aku kena gelak dengan kawan-kawan aku yang lain. Aku tak pergi kantin hari tu sebab sakit gigi dan malu.

Di sinilah bermulanya cerita aku ponteng sekolah. Esoknya aku mula ponteng. Ada tiga sebab kenapa aku ponteng. Pertama aku masih sakit gigi. Kedua kerana esok ada kelas Bahasa Inggeris. Ketiga, aku rasa malu nak jumpa kawan-kawan dalam kelas aku. Masa tu aku dalam kelas A. Kelas terataslah kononnya. Lusa aku datang semula dengan hati yang berat. Hari-hari berikutnya bila ada kelas Bahasa Inggeris aku akan ponteng sekolah sebab aku jadi sangat anti dengan cikgu tu. Sampailah pada suatu hari kemarahan dan rasa malu aku sampai ke kemuncaknya. Kisahnya bermula bila ada satu kawan sekelas aku namanya Jamilah. Masa tu kelas Bahasa Malaysia. Cikgu suruh murid buat ayat yang berdasarkan perkataan yang diberi. Kebetulan salah satu perkataan yang diberi itu ialah "malas". Kawan aku si Jamilah ni dengan selamba buat ayat "........(nama aku) adalah seorang budak yang malas". Gegak gempitalah satu kelas aku gelakkan aku. Punyalah malu aku rasa, hanya tuhan je lah yang tahu. Gila punya malu wei.

Pada aku, itulah hari terakhir aku hadir ke sekolah. Aku tak akan datang lagi dah. Sudahlah kena pulas telinga dengan cikgu Bahasa Inggeris, kawan-kawan aku pulak asyik duk gelak dan kutuk aku. Apa yang aku fikir tu memang aku buat. Mulai dari esoknya aku tak pergi sekolah langsung sampailah selama lebih kurang dua bulan. Masa tu mak bapa aku dah meninggal dunia setahun lebih. Aku duduk di rumah pusaka sorang-sorang. Sebelah rumah pusaka ada rumah abang aku yang baru kawin. Abang aku tu pun muda lagi. Awal 20an macam tu. Kiranya belumlah cukup matang dan belum ada rasa tanggungjawab sepenuhnya. Kakak ipar aku pulak rasanya memang tak suka kat aku sebab bila kawin dengan abang aku tak pasal-pasal dia kena jaga aku. Itu memang aku boleh rasa. Jadinya bila aku duduk sorang-sorang kat rumah pusaka aku boleh buat apa yang aku suka. Abang aku ni tak peduli sangat aku pergi sekolah ke tak. Biasanya aku pergi dan balik sekolah berjalan kaki. Jarak rumah aku ke sekolah lebih kurang dua batu. Panjang cerita aku ponteng sekolah ni. Part 1 kira tamat di sini dulu. Aku sambung lagi ceritanya nanti pada part 2.

Baca part 2 di sini  http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/dua-bulan-anak-yatim-piatu-ponteng_24.html

No comments:

Post a Comment