Thursday 20 November 2014

Rumah Api Tanjung Tuan

Dah lama aku nak ke rumah api kat Tanjung Tuan tapi bila pergi ke Port Dickson asyik mandi kat Teluk Kemang atau Pantai Purnama je. Tak sempat nak ke sana. Minggu lepas akhirnya dapat jugak aku pergi. Walaupun Tanjung Tuan (juga dikenali sebagai Cape Rachado) dekat Port Dickson tapi dari segi geografi ia terletak dalam negeri Melaka. Tak susah nak sampai ke sana. Kalau ikut highway PD sampai bulatan ambil jalan ke kiri arah Teluk Kemang. Bila dah jumpa Teluk Kemang terus jalan lagi dalam lebih kurang 3km rasanya. Tengok simpang sebelah kiri ada papan tanda Tanjung Tuan. Masuk je jalan ini anda akan jumpa beberapa resort dan rumah peranginan. Terus jalan sampai penghujungnya jumpa PNB Ilham Resort.  Sebelah resort ni anda akan nampak pintu masuk ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Dari simpang tadi sampai ke depan pintu masuk hutan reakreasi ambil masa tak sampai 5 minit. Dekat je. Dalam kawasan ini lah terletaknya rumah api yang dikenali juga sebagai Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Hutan Rekreasi atau hutan lipur ini termasuk dalam Rizab Hidupan Liar Tanjung Tuan, Melaka. Ia juga merupakan tempat perlindungan hidupan liar Taman Laut Negeri Melaka. Hutan ini dikategorikan sebagai hutan bukit pantai dan merupakan tempat persinggahan kira-kira 300,000 ekor burung setiap tahun kerana ia merupakan laluan bagi migrasi burung-burung dari benua Asia ke Selatan dan dari Selatan ke Benua Asia. Proses migrasi ini bermula seawal bulan Mac setiap tahun.

Pintu masuk utama
Kalau anda datang sini musim cuti sekolah atau hujung minggu, tempat letak kereta biasanya penuh sebab di depan pintu masuk hutan rekreasi inilah terletaknya PNB Ilham Resort jadi customer resort ni turut parking kat sini. Anda boleh jalan terus ke sebelah kanan kat orang yang pakai baju oren tu. Boleh letak kereta kiri kanan jalan tu. Kalau terus, tak jauh, dalam 100 meter anda akan jumpa pantai tapi pantai tu private agaknya mungkin PNB Ilham Resort punya.

PNB Ilham Resort terletak bersebelahan pintu utama ke hutan rekreasi.
Kalau anda jalan terus kat orang pakai baju oren dalam gambar yang mula-mula tadi dan parking kereta kat bahu jalan, anda akan nampak bangunan seperti dalam gambar di atas ni iaitu PNB Ilham Resort.


Plak keterangan bersebelahan pintu masuk utama.
Papan penerangan ini ada kat depan pintu masuk sebelah kanan. Sebelum anda masuk hutan rekreasi ni elok la anda baca sejarah tempat ni dulu. Kalau bawa anak-anak elok suruh dia orang baca supaya di samping berjalan-jalan mereka dapat juga ilmu. Rasanya cerita dari papan penerangan ni ada juga masuk dalam silbus mata pelajaran sejarah dan geografi. Kalau nak baca dan tengok gambar yang clear anda klik mouse sebelah kanan kemudian pilih view image. Dah keluar gambar anda boleh zoom in bagi lagi besar supaya clear dan senang dibaca.


Kaunter tiket selepas melalui pintu masuk utama.
Selepas anda melalui pintu masuk hutan rekreasi ini anda akan jumpa bangunan warna oren kat sebelah kiri. Kat sini anda kena bayar tiket RM1 untuk satu kepala. Dulu-dulu percuma je tapi tak tau sejak bila kena bayar RM1. Anda akan diberikan tiket. Jangan buang tiket tu sebab kat dalam nanti bila-bila masa dia orang boleh minta tengok tiket tu untuk pemeriksaan. Kadang-kadang tiket dah habis jadi anda kena tulis nama je kat buku depan kaunter tu. Lepas semua urusan ni selesai anda bolehlah meneruskan perjalanan mendaki. Tapi sebenarnya aku ada satu pesanan kepada sesiapa yang berhajat nak masuk dalam hutan rekreasi ni. Anda siapkanlah tuala kecil (yang besar sikit lagi bagus) sebab anda pasti akan berpeluh sakan untuk perjalanan kali ini. Bawa juga air mineral.

Permulaan mendaki
Dalam 3-4 minit mendaki anda akan sampai di sini. Nampak kat depan tu ada wakaf. Kalau pancit boleh rehat dulu. Take your time, tak ada apa nak dikejar kat atas sana :). Aku dulu datang dengan orang rumah. Sampai je kat wakaf tu terus dia merehatkan dirinya. Terpaksa la aku berehat jugak hehe. Gambar yang aku ambil ni menghala ke atas. Gambar di bawah ni pulak menghala ke bawah, pintu masuk awal tadi tu.


Jalan yang telah dilalui tadi.
Selepas wakaf yang pertama, nanti anda akan jumpa wakaf yang kedua. Jaraknya taklah jauh tapi sebab mendaki punya pasal rasa jauh jugak la. Sebelum jumpa wakaf yang kedua, anda akan jumpa pokok balak yang sangatlah besar dan tinggi di sebelah kanan jalan macam gambar kat bawah ni.

Balak ni besar sungguh.
Meranti Tembaga nama pokok ni. Memang tinggi, sungguh tinggi . Ada juga pokok balak lain yang besar dalam kawasan ini tapi aku rasa yang inilah yang paling besar kot. 

Kat FRIM Kepong banyak pokok Meranti Tembaga ni.
 Kalau pergi ke FRIM Kepong pokok macam ni memang banyak sungguh. Lagi besar dan tinggi pada ni pun ada. Tapi yang kat FRIM tu memang ditanam secara sistematik, patut la pun tumbuh subur, besar dan tinggi.


Pertengahan mendaki jalan agak mendatar.
Daripada pokok besar tu, naik ke atas jalannya agak datar sikit. Yang bagusnya jalan naik ke rumah api ni ialah banyak yang teduh. Kalau tak teduh aku rasa sampai ke atas tentu basah baju berpeluh. Kalau ada jalan yang panas macam gambar kat atas ni pun sikit je. 


Jumpa papan tanda ini maksudnya dah nak hampir sampi ke rumah api.
Dah jumpa papan tanda ni maknanya dah dekat la nak sampai ke rumah api. Dalam 100 meter lebih kurang. Kat kawasan papan tanda ni ada satu denai ke kiri untuk turun ke bahagian tepi laut. Kalau nak ke rumah api kena jalan terus. Mula daripada sini, naik ke atas, daripada jalan mendatar jadi curam sikit.


Rumah api dah kelihatan.
Dah sampai kat sini lega sikit. Kalau nak ke rumah api tinggal lagi kena naik tangga je. Atas rumah api tu ada radar MEASAT yang dipasang pada tahun 1990 rasanya. Ada dua tiga buah motor dan kereta milik pekerja hutan rekreasi dan rumah api. Orang awam tak boleh bawa kereta ke sini. Kalau tak, senang ajelah sampai ke puncak. Tak payah menapak. Dari pintu masuk sampai ke puncak bukit, berjalan kaki akan mengambil masa paling cepat 20 minit tanpa berhenti kat wakaf. Masa ni aku catat waktu turun. Masa turun lagi senang daripada naik. Tu pun ambil masa 20 minit. Kalau naik rasanya mungkin lebih dari 20 minit kot.

Papan keterangana Jabatan Laut Semenanjung.
 Sebelum naik tangga jumpa papan tanda ni di sebelah kiri. Ia memaparkan maklumat berkaitan rumah api tersebut. Aku berehat kat sini lama jugak sebelum meneruskan perjalanan menaiki tangga. Masa aku pergi tempat ni tengah hari, jadi cuaca panas sikit. Boleh tahan juga berpeluhnya. Nasib baik aku ada bawa tuala buat mengelap peluh.

Tangga untuk ke rumah api.
Rumah api Tanjung Tuan terletak di puncak bukit. Kena naik anak tangga ini untuk sampai ke puncak. Tak la jauh sangat tapi kalau tengah panas mengah la juga bila dah sampai kat atas. Kalau dah sampai kat atas baru terasa angin kuat. Kat tangga ni angin tak sampai sebab terlindung dek puncak bukit yang ada rumah api tu.



Rumah api dilihat dari tangga.
Pintu masuk rumah api. Pelawat tak dibenarkan masuk.
Menara rumah api.

Selat Melaka dilihat dari rumah api.





Kalau anda masih ada tenaga dan berniat nak meneruskan penjelajahan di hutan rekreasi ini anda boleh meneruskan perjalanan menuruni bukit menghala ke kawasan pantai. Ada beberapa denai yang menghala ke arah yang berlainan. Selepas saja puncak bukit yang ada rumah api tadi, anda akan jumpa tangga turun menuju ke kawasan pantai yang dinamakan Pulau Intan. Kawasan ini adalah kawasan terumbu karang.


Papan keterangan lokasi sekitar hutan rekreasi

Jika anda berhasrat mengunjungi semua lokasi tersebut eloklah anda bersedia dari segi fizikal kerana ianya akan mengambil masa beberapa jam untuk menamatkannya. Jangan lupa bawa tuala untuk mengelap peluh dan juga air mineral.